Rosé BLACKPINK Dinobatkan Wajah Tercantik Dunia 2025, Kukuhkan Status Ikon Global


Oleh: AILEEN ADAM
NAMA Rosé terus menjadi sebutan apabila bintang K-pop itu diumumkan sebagai wanita tercantik di dunia bagi tahun 2025 menerusi senarai tahunan The 100 Most Beautiful Faces yang diterbitkan oleh platform filem Amerika Syarikat, TC Candler.


Pengumuman rasmi yang disiarkan melalui saluran YouTube TC Candler itu pantas mencetuskan perhatian dan perbualan hangat di media sosial, sekali gus membuktikan pengaruh global yang dimiliki oleh anggota BLACKPINK tersebut.

Pada usia 28 tahun, Rosé berjaya menduduki tangga teratas senarai The 100 Most Beautiful Faces of 2025, satu pencapaian yang menandakan lonjakan besar berbanding kedudukannya di tempat ketujuh pada edisi tahun lalu.

Kejayaan ini dilihat sebagai refleksi kepada perjalanan karier seninya yang semakin kukuh, bukan sahaja dalam muzik tetapi juga sebagai figura berpengaruh dalam landskap hiburan dan budaya pop antarabangsa.

Peningkatan kedudukan itu turut selari dengan fasa aktif Rosé sepanjang setahun kebelakangan ini, yang menyaksikan namanya kerap menjadi tumpuan global.

Kehadirannya yang konsisten di pentas antarabangsa, ditambah dengan gaya peribadi yang elegan dan autentik, menjadikan pelantun lagu APT. itu antara selebriti K-Pop yang paling menonjol di mata dunia.

Pengaruh Muzik, Fesyen dan Perdebatan Global

Dilahirkan di New Zealand dan dibesarkan di Australia, Rosé bukan sekadar dikenali sebagai vokalis dengan identiti muzik tersendiri, malah berjaya mengukuhkan reputasi sebagai ikon fesyen global.

Kerjasamanya bersama jenama mewah antarabangsa serta penampilannya di barisan hadapan acara fesyen dunia memperlihatkan bagaimana pengaruhnya melangkaui pentas muzik dan merentas industri kreatif lain.


Dalam kategori lelaki, V BTS muncul sebagai selebriti Korea yang berada pada kedudukan tertinggi di tempat ketujuh

Bagi senarai tahun ini, tempat kedua diduduki oleh pelakon Hollywood, Sydney Sweeney, sekali gus memperlihatkan persaingan sengit antara figura hiburan daripada latar belakang berbeza.

Senarai yang disusun oleh Independent Critics di bawah penerbitan TC Candler itu menilai beberapa elemen seperti daya tarikan visual, karisma, pengaruh antarabangsa dan impak budaya pop, meskipun sifatnya kekal subjektif.

Seperti kebiasaan, keputusan tersebut turut mengundang perbincangan dan perdebatan dalam kalangan warga maya, khususnya di Korea Selatan.

Sebahagian pihak mempertikaikan kredibiliti dan kriteria pemilihan TC Candler, dengan pandangan bahawa senarai berkenaan lebih dipengaruhi populariti global berbanding piawaian kecantikan sebenar.

Selain Rosé, edisi 2025 turut menampilkan dominasi kuat bintang K-pop. Vokalis BABYMONSTER, Pharita, yang berasal dari Thailand berada di kedudukan ketiga, diikuti Karina Aespa di tempat kelapan dan Jisoo BLACKPINK di tangga ke-11.

Nama lain seperti Tzuyu TWICE dan Lisa BLACKPINK, Jeon Somi, Jennie BLACKPINK dan Jang Won-young IVE turut tersenarai, sekali gus mengukuhkan lagi pengaruh visual K-pop di peringkat global.

Dalam kategori lelaki pula, V daripada BTS muncul sebagai selebriti Korea dengan kedudukan tertinggi apabila berada di tempat ketujuh. Rekodnya sebagai wajah terkacak dunia pada tahun 2017 masih kekal sebagai pencapaian bersejarah, manakala kehadirannya dalam kelompok teratas dari tahun ke tahun membuktikan populariti yang tidak pernah surut. Turut tersenarai ialah Ni-Ki ENHYPEN, Jungkook BTS, Hyunjin Stray Kids dan Cha Eunwoo ASTRO.

Untuk rekod, TC Candler telah menerbitkan senarai 100 Most Beautiful Faces dan 100 Most Handsome Faces sejak tahun 1990, menjadikannya antara penarafan kecantikan paling lama wujud dan paling konsisten mencetuskan perbualan di seluruh dunia setiap tahun. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments