Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Malik Choo Raikan Cinta & Budaya Dalam ‘Suka Kamu’


Daripada sekadar muncul dalam lagu-lagu kolaborasi viral, kini Malik Choo berdiri di pentasnya sendiri. Artis versatil ini, yang sebelum ini dikenali menerusi kemunculan di beberapa trek popular, kembali mencuri perhatian dengan single solo pertamanya berjudul Suka Kamu.

Lagu ini lahir daripada sentuhan kreatif Malik sendiri bersama Shazee Ishak dan Mambang, membawakan kisah cinta moden yang memandang lebih jauh daripada rupa paras semata-mata. Ia tentang kasih yang jujur, menerima seseorang seadanya dengan kelebihan mahupun kekurangan.

Dilancarkan pada 8 Ogos lalu di semua platform penstriman digital, Suka Kamu hadir dengan melodi lembut yang mudah melekat di kepala. Korusnya, “Ku suka kamu seperti kamu,” menjadi inti mesej bahawa cinta sejati itu menerima tanpa syarat.

Cinta, Budaya dan Perspektif Seorang Mualaf

Muzik videonya, arahan Fareez Nasir, memperindah lagi naratif lagu. Dengan sentuhan visual yang segar, ia bukan hanya menceritakan tentang hubungan dua hati, tetapi juga meraikan keindahan Malaysia, di mana budaya dan jiwa dapat bersatu.

Malik membawakan watak seorang penghantar barang yang pemalu, bertemu dengan seorang gadis lantang dan berani lakonan Wan Nasuha. Cerita ringkas ini dihidupkan dengan mesej mendalam bahawa cinta sejati tidak memandang warna kulit atau asal-usul.

“Saya mahu video muzik ini dilihat dari sudut pandang peribadi, sebagai seorang mualaf yang merasai sendiri kemesraan rakyat Malaysia. Cinta di sini bukan tentang dari mana asalmu, tapi tentang pilihan hatimu,” kata Malik.

Bukan nama asing dalam industri, Malik fasih berbahasa Kantonis, Melayu dan Inggeris, dan pernah menjadi wajah kempen jenama besar seperti Marrybrown dan Shopee.

Dunia muzik mengenalinya sebagai Malik Abdullah melalui lagu-lagu viral seperti Kita Jaga Kita bersama Altimet dan Cuurley (10 juta tontonan di YouTube) serta Lelaki Di Telefon bersama Afieq Shazwan (1.7 juta penstriman di Spotify, 11 juta tontonan di YouTube). Dia juga pernah menganggotai kumpulan Chop dalam rancangan realiti Astro, The Last TRIO Standing.



Kini, dengan bimbingan mentornya Altimet yang turut membuat penampilan khas dalam muzik video ini, Malik melangkah sebagai artis solo penuh keyakinan.

Suka Kamu juga menjadi projek pertamanya di bawah geran DKK Industri Muzik Dana Kebolehan Pasaran (Domestik 2.0), sebuah inisiatif MyCreative Ventures bersama Kementerian Komunikasi.

Kerjasama antara syarikat pengurusan Malik, SVLTAN Management, dan Sony Music Entertainment Malaysia pula membuka ruang untuk membawa karya ini ke pentas global. Satu langkah besar, tetapi penuh makna untuk seorang artis yang memilih untuk menyanyi dari hati. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments