Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Kejohanan Badminton Dunia 2025 - Pearly-Thinaah bawa pulang pingat perak


HASRAT Malaysia untuk menyaksikan satu lagi kejuaraan dunia tidak kesampaian selepas beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan–M Thinaah, tewas di pentas final Kejohanan Badminton Dunia 2025 yang berlangsung di Adidas Arena, Paris, Perancis pada Ahad.

Walaupun gagal menjulang gelaran, Pearly–Thinaah tetap pulang sebagai wira dengan pingat perak selepas berjuang sengit menentang gandingan handal dari China, Liu Sheng Shu–Tan Ning.

Aksi tiga set itu berkesudahan 21-14, 20-22, 21-17, dengan sorakan penonton mengiringi setiap rally yang mendebarkan.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir ini sudah cukup melakar sejarah tersendiri buat badminton wanita negara. Buat kali pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di kejohanan berprestij ini, beregu wanita berjaya melangkah sehingga ke pentas final, satu pencapaian besar yang menandakan era baharu buat badminton negara.

Simbolik Hadiah Kemerdekaan

Lebih bermakna, kejayaan ini hadir tepat pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, seakan hadiah simbolik buat seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun tidak membawa pulang emas, semangat juang Pearly–Thinaah tetap mengundang rasa bangga. Mereka membuktikan bahawa Malaysia mampu menyaingi gandingan nombor satu dunia, malah memberikan tentangan yang membuatkan lawan berhempas pulas untuk menamatkan perlawanan.


Sorakan penyokong yang membanjiri arena dan ribuan ucapan tahniah di media sosial menjadi bukti bahawa pencapaian ini diraikan penuh rasa syukur dan bangga.

Pearly-Thinaah membawa pulang perak selaku naib juara dan dalam masa sama telah membuka jalan untuk generasi seterusnya, sekali gus menulis sejarah baharu dalam arena badminton Malaysia. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments