HARI Kebangsaan tahun ini diraikan dengan lebih manis apabila beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, muncul juara Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Adidas Arena, Paris, Perancis pada Ahad.Kemenangan ini bukan sekadar pingat emas, tetapi simbol kejayaan bermakna buat Malaysia apabila ia hadir tepat pada 31 Ogos, ketika seluruh rakyat meraikan Hari Kebangsaan ke-68.
Dalam aksi penuh mendebarkan, Tang Jie–Ee Wei turun dengan semangat membara, berdepan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin.
Namun reputasi lawan langsung tidak menggentarkan mereka. Dengan corak permainan bertenaga dan keyakinan tinggi, pasangan negara menutup perlawanan dengan kemenangan straight set 21-15, 21-14.
Detik itu sekali gus mengesahkan mereka sebagai juara dunia baharu, mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa, dan mencatat sejarah tersendiri buat acara beregu campuran negara.
Sejarah Baharu Dalam Arena Badminton
Kemenangan ini juga menamatkan penantian panjang lebih 19 tahun untuk melihat wakil Malaysia sekali lagi menaiki podium di acara beregu campuran di Kejohanan Dunia.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat adalah pada 2006 menerusi Koo Kien Keat–Wong Pei Tty yang meraih gangsa di Madrid.
Kini, Tang Jie dan Ee Wei bukan sahaja melakar kejayaan peribadi, tetapi juga membuka lembaran baharu buat badminton Malaysia dan membuktikan bahawa acara beregu campuran mampu menjadi antara kekuatan utama negara di pentas dunia.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments