KAPTEN Batik kini secara rasmi membuka semula kaunter mereka di Isetan Suria KLCC dengan konsep yang bukan sekadar ‘naik taraf’ tapi satu pengalaman runcit baharu yang memadukan keanggunan membeli-belah mewah dengan kehangatan suasana resort urban.
Terletak di tengah-tengah pusat beli-belah paling ikonik di Kuala Lumpur, kaunter baharu ini mencerminkan komitmen jenama terhadap warisan, ketukangan dan inovasi.
Ilhamnya datang daripada tradisi diraja dan keindahan seni kraf Malaysia, lalu diterjemahkan ke dalam ruang moden yang meraikan budaya dalam gaya kontemporari.
Setiap sudut dari unit pameran khas hingga pencahayaan terpilih dan ruang duduk yang lembut ala lounge dibina untuk memberi rasa tenang, canggih, dan selesa. Ia bukan sekadar tempat untuk memilih batik, tapi ruang untuk menyelami cerita dan rasa ‘tempat’ yang sebenar.
Menurut Pengarah Kapten Batik, Ekram Faiz, pendekatan ini lahir daripada keyakinan bahawa pengalaman membeli-belah itu sendiri patut sama bermakna dengan pakaian yang dibeli.
“Di Kapten Batik, kami percaya proses membeli itu perlu ada jiwa. Pembukaan semula ini bukan semata-mata tentang rupa baharu, tapi tentang pengalaman menyeluruh dari langkah pertama ke kaunter, hingga saat anda menyarung batik itu ke badan,” ujarnya.
Merai Seni Buatan Tempatan dengan Sentuhan Moden
Salah satu kekuatan utama di sebalik transformasi ini ialah bagaimana jenama ini terus memperjuangkan seni buatan tempatan. Bukan hanya melalui koleksi eksklusif batik mereka, tetapi juga dalam rekaan ruang itu sendiri.
Elemen kayu tempatan, anyaman tradisional, dan interpretasi moden terhadap motif-motif warisan dimasukkan dengan teliti menjadikan setiap sudut sebagai penghormatan kepada seni dan budaya Malaysia.
Lebih daripada sekadar kaunter pakaian, ruang baharu ini diibaratkan sebagai satu destinasi tempat ‘lari sekejap’ untuk mereka yang menghargai rekaan, tradisi dan seni kraf tangan. Ia bukan sahaja menampilkan batik sebagai fesyen, tetapi sebagai ekspresi identiti moden Malaysia.
Pengalaman baharu ini kini boleh dirasai di Kapten Batik, aras 3 Isetan Suria KLCC yang membawa lembaran baharu dalam dunia batik kontemporari Malaysia.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments