Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Acara fesyen paling dinantikan - Met Gala 2025 bakal kembali curi tumpuan

Acara karpet merah Met Gala yang sentiasa mencetuskan kehangatan

Oleh: SORAYA AFNAN

SETIAP tahun, Met Gala menjadi salah satu acara fesyen paling dinantikan di dunia, mempamerkan kreativiti dan semangat tinggi dalam dunia seni dan fesyen.

Met Gala yang merupakan singkatan kepada Metropolitan Museum of Art Costume Institute Gala adalah acara yang diadakan bagi mengumpul dana untuk mengembangkan program-program di muzium itu.

Seperti kelazimannya acara fesyen berprestij yang sering mencuri tumpuan dunia itu akan diadakan pada Isnin pertama bulan Mei dan untuk tahun ini Met Gala kembali ke Metropolitan Museum of Art pada hari Isnin, 5 Mei 2025 (6 Mei waktu Malaysia), dengan membawa selebriti-selebriti terkenal ke muzium ikonik di New York City itu.

Tahun ini, tema Tailored for You mengambil inspirasi daripada pameran Superfine: Tailoring Black Style, yang akan dibuka kepada umum di Metropolitan Museum of Art pada 10 Mei ini.

Pameran tersebut mengangkat warisan budaya dan seni gaya komuniti Black, dari era abad ke-18 hingga zaman Harlem Renaissance dan impaknya dalam fesyen kontemporari.

Superfine: Tailoring Black Style diinspirasikan daripada buku tulisn Monica L. Miller berjudul Slaves to Fashion: Black Dandyism and the Styling of Black Diasporic Identity, terbitan 2009.

Ia adalah gabungan gaya, kuasa ekspresi diri dan identiti, yang diterjemahkan ke dalam kod fesyen yang elegan dan penuh makna.

Tema tersebut juga diharapkan dapat memberikan perspektif baharu tentang gaya 'Black Dandyism' dan bagaimana ia membentuk landskap fesyen masa kini.

Met Gala 2025 mengajak tetamu untuk menginterpretasikan tema ini melalui pilihan busana yang tajam, terstruktur, dan berani  sekali gus menjadikan karpet merah malam itu medan ekspresi fesyen yang bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga kaya dengan simbol sosial dan sejarah.

Siapa bakal hadir?

Seperti biasa, senarai penuh jemputan Met Gala kekal rahsia hingga saat akhir. Bagaimanapun beberapa nama besar telah disahkan bakal hadir.

Antaranya Jennie dan Rosé daripada Blackpink, Zendaya, Rihanna, Bella Hadid, Gigi Hadid, Sabrina Carpenter, Cynthia Erivo, Anok Yai, Priyanka Chopra, Doechii, Tyla, Usher, Kim Kardashian, Jenna Ortega, Janelle Monáe, Ayo Edebiri, Regina King, Edward Enninful, Olivier Rousteing, dan ramai lagi tokoh serta individu berpengaruh.

Menariknya, Met Gala bukan hanya untuk mereka hebat dalam dunia fesyen tetapi ia juga merupakan tempat untuk selebriti, atlet, dan artis berpakaian dalam reka bentuk yang mencabar, inovatif, malah kadangkala sangat berani.

Meski tiket ke Met Gala ini boleh dibeli dengan harga eksklusif, hakikatnya bukan semua orang yang boleh hadir ke acara ini.

Hanya mereka yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia fesyen, hiburan, seni dan budaya sahaja yang akan mendapat jemputan eksklusif daripada pihak penganjur dengan kelulusan daripada Anna Wintour selaku Editor in Chief Vogue yang juga pengarah utama acara ini.

Apa yang dijangka di karpet merah

Karpet merah Met Gala sentiasa menjadi medan perang fesyen di mana selebriti, pereka fesyen, dan ikon industri bergabung untuk mencipta momen-momen ikonik.

Tahun ini, kita boleh menjangkakan penampilan yang sangat berani dan penuh gaya dengan koleksi pakaian daripada tema ini yang dipersembahkan dalam pelbagai nuansa.

Dari jaket tailoring yang tegas, gaun hitam elegan, hingga aksesori yang melengkapi kesan dramatis di mana kesemua elemen akan mengangkat tema 'Superfine'.

Met Gala 2025 bukan sekadar acara fesyen tetapi ia adalah platform untuk memperlihatkan peranan penting budaya dalam industri fesyen global.

Dengan tema Superfine: Tailoring Black Style, acara ini menonjolkan bagaimana fesyen dapat menjadi alat untuk mendidik masyarakat, mengubah pandangan, dan memajukan perbincangan mengenai keadilan sosial dan inklusiviti dalam dunia fesyen.

Met Gala 2025 dijangka akan menjadi medan interpretasi fesyen yang paling menarik setakat ini, dengan tetamu hadir dalam gaya yang memberi penghormatan kepada estetika tailoring komuniti Black.

Daripada suit tersusun dan gaun dramatik, sehinggalah ke aksesori simbolik, setiap elemen bakal menyumbang kepada naratif besar tentang identiti, keanggunan, dan kuasa ekspresi.

Lebih daripada sekadar acara fesyen, Met Gala tahun ini membawa mesej mendalam, bagaimana fesyen dapat menjadi alat komunikasi budaya, memperjuangkan inklusiviti, dan memberi ruang kepada suara yang sering terpinggir untuk tampil ke hadapan.

Dari elit ke global

Sejak diperkenalkan pada tahun 1948, Met Gala berkembang daripada majlis elit kecil kepada acara global yang menjadi perhatian industri, peminat selebriti dan pereka fesyen seluruh dunia.

Di bawah kepimpinan Anna Wintour, ia berubah menjadi malam paling berpengaruh dalam kalendar fesyen antarabangsa.

Hari ini, Met Gala bukan hanya tentang pakaian dan selebriti, tetapi telah menjadi fenomena global yang mencatatkan impak media yang besar.

Met Gala 2025 dengan tema Superfine dan kekuatan budaya yang dibawa, dijangka mencipta momen yang bukan sahaja menakjubkan dari segi visual, tetapi juga membuka ruang kepada perbualan yang lebih besar tentang sejarah, identiti, dan gaya hidup.

Untuk pertama kalinya, Met Gala 2025 akan diketuai oleh empat pengerusi Utama yang terdiri daripada Colman Domingo (pelakon), Lewis Hamilton (pemandu Formula 1), A$AP Rocky (rapper), dan pengarah kreatif Louis Vuitton untuk lelaki, Pharrell Williams.

Mereka akan berganding bahu dengan ketua editor Vogue, Anna Wintour, untuk mengaturkan acara ini, bersama dengan pengerusi kehormat LeBron James.

Penceritaan fesyen, sejarah, dan tema sosial ini akan menjadi perbualan hangat di kalangan penggiat fesyen, selebriti, dan peminat setia.

Saksikan kejutan besar di Met Gala tahun ini, kerana acara ini pasti akan membuka perbincangan baru mengenai cara dunia melihat dan menghargai fesyen serta keanggunannya dalam konteks global. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments