ALPHA | FOTO: Rocketfuel Entertainment |
SELEPAS mencetuskan gelombang luar biasa menerusi debut single Mona Lisa (Bang Bang), kumpulan baharu sensasi ALPHA kini kembali dengan karya kedua yang lebih jujur dan menyentuh rasa.
Berjudul P. Ramlee & Saloma, lagu ini mengangkat sisi berbeza dalam muzik mereka iaitu balada emosi yang mendalam, tetapi masih kekal stylish dan kontemporari.
Diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment, single ini adalah hasil kolaborasi kreatif tiga komposer prolific iaitu Justin Seow, Mohsein Kush dan RFE.
Jika single pertama mereka menyerlahkan semangat pop moden ala K-pop, kali ini ALPHA memilih untuk menyentuh hati pendengar dengan balada dan ternyata mereka berjaya.
Dari Pentas Realiti ke Studio Rakaman
Nama ALPHA bukan muncul tiba-tiba. Mereka lahir daripada Big Stage Alpha, sebuah program realiti pencarian bakat yang merupakan spin-off kepada rancangan Big Stage.
Daripada ratusan peserta yang mencuba nasib, tujuh yang terbaik dipilih untuk membentuk sebuah kumpulan yang lengkap dari segi vokal, karisma, gaya serta personaliti yang kemudiannya menyaksikan kewujudan ALPHA yang dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky.
Gabungan tujuh karakter ini membawa makna besar di mana ALPHA bukan sekadar nama, tetapi simbol kepada permulaan, kepimpinan dan kekuatan.
Mereka datang dari latar belakang berbeza, tetapi berpadu dengan satu misi untuk mengangkat bakat Asia Tenggara ke pentas global melalui muzik yang segar dan berani.
Daripada ‘Mona Lisa’ ke Legasi Ikonik
Kemunculan rasmi mereka bermula dengan single Mona Lisa (Bang Bang), sebuah lagu pop bertenaga dengan suntikan elemen K-pop, catchy dan penuh 'attitude'.
Lagu ciptaan Justin Seow, Kuizz, James Chaw, Sean Lew, Roland Lim Shi Jie, Tyler Sarfert dan Prem Anand itu turut menarik perhatian peminat muzik baharu menerusi muzik video (MV) eksklusif yang dilancarkan pada 6 Julai lalu.
MV itu kini sudah mencecah lebih 250 ribu tontonan di YouTube, satu pencapaian hebat untuk kumpulan rookie yang baru memulakan langkah.
Menurut Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee, pelancaran ALPHA adalah sebahagian daripada komitmen mereka untuk mengetengahkan bakat tempatan dan serantau ke tahap seterusnya.
“ALPHA adalah bukti nyata bahawa dengan bimbingan dan platform yang betul, kita boleh hasilkan bintang setaraf antarabangsa,” ujarnya.
Versi MV rasmi juga bakal menyusul tidak lama lagi di saluran YouTube @RocketFuelNetwork. Bersedialah untuk jatuh cinta sekali lagi dengan sisi baharu ALPHA yang lebih matang dan penuh jiwa. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments