KUGIRAN retro moden kesayangan ramai, Masdo meraikan satu dekad perjalanan seni mereka dalam industri muzik dengan cara yang cukup unik dan mengejutkan.
'Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap' berlangsung dengan meriah di Saloma, Kuala Lumpur, majlis baru-baru ini telah menghimpunkan lebih 200 peminat setia.
Sebagai penghargaan buat para peminat, Masdo menghadiahkan persembahan eksklusif secara langsung menerusi acara itu yang mengimbau kenangan lagu-lagu hits mereka.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Dinda, Lautan Asmara, Janji Manis, Bunga dan Berchanda Di Malam Indah yang menghangatkan suasana dan membuat para hadirin bernyanyi bersama.
Pengumuman eksklusif
Detik kemuncak malam yang dinanti-nantikan tiba apabila Masdo merungkai poster rasmi konsert ulang tahun ke-10 mereka dengan penuh simbolik, menarik turun kain yang menutupi bangunan MATIC diiringi dengan letupan bunga api.
Konsert yang diberi nama Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun dianjurkan oleh Hitman Solutions itu bakal berlangsung pada 30 Ogos 2025 di lokasi konsert terbaharu di Malaysia, Idea Live Arena KL @ 3 Damansara.
Masdo merupakan artis pertama yang mengumumkan konsertnya di lokasi tersebut. Dengan kapasiti yang boleh memuatkan 7,000 penonton, Masdo akan menyambut ulang tahun ke-10 mereka bersama para peminat dengan suasana yang lebih intim.
Peminat boleh pra-daftar mulai 30 April hingga 1 Mei untuk dapatkan harga Rockzone Early Bird - RM128. Sekiranya terlepas, peminat masih boleh membeli tiket semasa dengan Harga RM148 dan RM198.
Menurut CEO dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan.
"Dengan pengalaman, bakat, dan legasi Masdo yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah.
"Bagi kami, pengumuman besar ini perlu dimulakan dengan sesuatu yang benar-benar istimewa dan penuh kejutan, supaya perjalanan menuju hari konsert nanti menjadi lebih bermakna.
"Dengan sokongan padu daripada peminat setia mereka, kami yakin konsert ini bakal meraih sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada peminat lama tetapi juga yang baharu," katanya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments