Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya akan mengetepikan perasaan sendiri dan memberi peluang kepada orang lain" - Khai Bahar


MAHU terus berkongsi karya bersama pencinta muzik tanah air, penyanyi Khai Bahar kini tampil dengan single terbaharu berjudul Lemas.

Lagu ciptaan Hykal Kadir dengan lirik nukilan Hamizan Azli itu disifatkan cukup istimewa buat dirinya kerana lirik yang ditulis itu berkait rapat dengan pengalaman peribadinya, keluarga malahan orang sekeliling.

Menurut Khai atau nama lengkapnya, Muhammad Khairul Baharuddin, apabila mengamati lirik Lemas, dia seolah-olah dapat hubungkan dengan keadaan yang pernah dilalui dalam hidupnya.

"Saya seorang yang akan mengetepikan perasaan sendiri dan memberi peluang kepada orang lain. Secara ringkasnya, saya ni jenis pasrah, tidak hiraukan perasaan sendiri asalkan orang tersayang bahagia.

"Kadang-kadang bila kita buat orang lain bahagia, secara tidak langsung, hati kita tenang walaupun pedih untuk menerimanya. Lama-lama nanti perasaan sedih itu dengan sendirinya akan hilang. 

"Oleh sebab itulah, bila saya lihat lirik lagu ini, saya terus setuju untuk jadikan single terbaharu,” jelasnya.


Bintang berusia 30 tahun itu menunjukkan komitmen yang tinggi ketika rakaman tanpa mengira kesihatannya.

“Ketika rakaman lagu ini dilakukan, saya dalam keadaan yang kurang sihat. Namun saya tidak mahu melengah-lengahkan rakaman ini kerana saya menghargai serta menghormati kerja keras sahabat saya di dalam studio terutamanya komposer dan penulis lirik.

"Saya amat menghormati kedua-duanya, mereka masih muda dan memiliki bakat yang sangat berkualiti,” katanya.

Tambah Khai, sebagai penyanyi dia sangat menghormati kreativiti setiap karyawan dan mahu lakukan yang terbaik demi membalas kepercayaan yang diberikan.

“Saya boleh dikatakan masih lagi baru dalam bidang ini. Namun saya terbuka untuk menerima sesiapa sahaja komposer asalkan melodi, lirik dan lagu sedap didengar dan melekat di hati saya. 

"Alhamdulillah berkat kerja sama semua, rakaman selesai dalam masa dua jam setengah,” ujarnya yang pernah tampil dengan lebih 20 buah single.

Lemas kini boleh didapati di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Youtube Music, Tidal dan Deezer. - 7KLIK



[FOTO: Alternate Records]

Post a Comment

0 Comments