Hot Posts

6/recent/ticker-posts

"Saya tidak reda pemergian ini, tapi apa daya saya.. - Khidmat berakhir, Tyzo tidak lagi bersama Suria FM


PENYAMPAI radio, Tyzo Xander menokhtahkan kerjayanya di Suria FM apabila khidmat bersama stesen radio itu berakhir pada Jumaat.

Tyzo atau nama sebenarnya, Tuah Zokarnain Idris mengucapkan selamat tinggal kepada pendengar Suria pada penampilan terakhir di segmen kendaliannya, Suria Petang bersama Sharifah Shahira semalam.

Menerusi satu hantaran di akaun Intagram miliknya, Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 itu tidak dapat menyembunyikan kesedihannya meninggalkan Suria selepas lapan tahun bersama stesen radio tersebut.

“Saya minta maaf kerana ini bukan keputusan saya. Saya masih lagi mahu bekerja. Saya punya anak, tapi ini bukan kehendak saya.

"Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah kemenangan Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023.

“Selepas ini mohon tiada pihak ‘spin cerita’, ‘olah ayat’, ‘tuduh diva’ demi menutup aib. Hanya yang pernah lalui sahaja tahu sakitnya," luahnya.

Dalam hantaran sama, Tyzo turut memohon maaf kepada pendengar Suria Petang kerana tidak dapat lagi bersiaran bersama mereka, selain menitipkan ucapan buat rakan gandingan serasinya, Sharifah Shahira.

“Jutaan maaf kepada seluruh pendengar Suria Petang. Buat Kak Rara (Shahrifah Shahira), saya akan rindukan bekerja dengan akak.

"Saya tidak reda pemergian ini, tapi apa daya saya, saya tiada kuasa, saya tiada pilihan. Saya harus pergi. Maafkan saya. Selamat tinggal Suria,” ujarnya.



Sementara itu, Suria FM dalam satu kenyataan kepada media mengesahkan khidmat Tyzo sebagai penyampai stesen itu berakhir pada 12 Januari 2024. 

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin), keputusan yang dibuat merupakan langkah stesen tersebut dalam merangka strategi dan perancangan baharu bagi menghasilkan produk lebih menarik dan segar bagi tahun 2024 dan seterusnya.

“Jalinan kerjasama Suria FM bersama Tyzo merupakan satu tempoh kerjasama baik. Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau.

“Kami telah pun merangka strategi dan perancangan baharu bagi tahun 2024 dan seterusnya untuk memastikan jenama Suria FM kekal relevan dan terus memenuhi kehendak serta kepuasan pendengar. Perkembangan selanjutnya berkenaan program dan strategi Suria FM akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Suria menyokong dan percaya serta mendoakan Tyzo akan terus berjaya dalam bidang berkaitan atau bidang lain yang diceburi," jelas DJ Lin yang berharap agar pendengar setia radio itu terus menyokong Suria FM.

Terdahulu Tyzo dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 yang berlangsung pada Julai 2023.  - 7KLIK

Post a Comment

0 Comments