Juara antara juara, Jaclyn Victor bawa pulang RM200,000 dari pentas akhir All Star Gegar Vaganza


KUALA LUMPUR: Penyanyi Jaclyn Victor muncul sebagai juara All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada konsert akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada malam Ahad.

Jaclyn atau jac, 45, tampil dengan persembahan mantap menerusi lagu When You Believe, nyanyian asal Mariah Carey dan Whitney Houston untuk segmen solo, manakala Sandarkan Pada Kenangan disampaikan secara duet dengan Datuk Jamal Abdillah.

Sementara untuk segmen battle, Jac yang juga merupakan bekas juara Gegar Vaganza musim kesembilan itu menyanyikan lagu Kill This Love daripada Blackpink.

Penyanyi yang tampil konsisten sepanjang 11 minggu bersaing di pentas ASGV itu menewaskan tujuh finalis lain iaitu Liza Hanim, Hady Mirza, Nikki Palikat, Naqiu, Tomok, Azharina dan Siti Nordiana.




Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Jac membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM200,000 beserta trofi. Sementara finalis lain masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan hadiah sampingan setiap seorang.

Pada malam kemuncak ASGV itu, setiap finalis diberikan tiga tugasan iaitu persembahan secara solo, duet (bersama penyanyi undangan) dan battle (bersama finalis).

Kesemua peserta yang bertanding diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Ella sebagai juri jemputan.

ASGV yang dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) setiap Ahad, jam 9 malam bermula 24 September lalu.



Kedudukan dan markah finalis

1. Jaclyn Victor - When You Believe, Sandarkan Pada Kenangan & Kill This Love (80.10%) - JUARA
2. Hady Mirza - Making Love Out Of Nothing At All, Seandainya Masih Ada Cinta & Sorry Sorry (75.74%)
3. Nikki Palikat - Tragedi Buah Epal, Ikhlas Tapi Jauh & Sorry Sorry (73.18%)
4. Liza Hanim - My Heart Will Go On, Terus Hidup & Kill This Love (72.34%)
5. Naqiu - Nur Nilam Sari, Kekasih Bayangan & Sorry Sorry (72.18%)
6. Tomok - Seberapa Pantas, Terbang & Kill This Love (71.46%)
7. Azharina - Halo, Kamelia & Sorry Sorry (69.64%)
8. Siti Nordiana - Kisah Hati, Kelmarin & Kill This Love (61.14%)

Post a Comment

Previous Post Next Post