Kes saman Siti Nordiana, lima sekawan selesai secara baik


KUALA LUMPUR: Konflik melibatkan penyanyi Siti Nordiana, 39, dan lima individu yang dibawa ke mahkamah hampir dua tahun lalu berakhir apabila finalis All Stars Gegar Vaganza itu bersetuju untuk menyelesaikan kes berkenaan secara baik pada Selasa.

Lima sekawan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof dan isterinya, Nur Sheila Hassim (isteri Lan), Zuraidah Badron (Syura Badron), Sam Musyadzafar Samin (Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music) dan Razidah Ahmad Senusi (jurusolek artis bebas).

Peguam yang mewakili Siti Nordiana selaku plaintif, Abang Azlan Abang Ariffin memaklumkan kepada Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee bahawa anak guamnya dan lima defendan itu telah berbincang untuk menyelesaikan kes saman itu berdasarkan terma penyelesaian yang dipersetujui bersama.

Tindakan itu dilakukan atas dasar hubungan persahabatan yang terjalin antara mereka sebelum ini.

"Permohonan maaf ini adalah dibuat berdasarkan perhubungan persahabatan antara kami sebelum ini. Dengan ini, kami berharap agar persengketaan dan salah faham yang telah berlaku sebelum ini antara kami terhenti di sini dan biarlah menjadi sejarah pahit yang tidak akan berulang," kata mereka.

Pada prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur itu, kesemua individu terbabit membacakan pernyataan maaf masing-masing, yang kemudiannya direkodkan oleh mahkamah.

Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Hanya Sandaran itu memfailkan saman RM2.5 juta pada 20 Julai 2021 terhadap lima defendan tersebut kerana menyiarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya menerusi satu siaran langsung di Instagram.

Menurut Siti Nordiana, kenyataan tersebut yang telah tular dan dimuatkan naik ke pelbagai platform media sosial itu telah menjejaskan reputasinya secara serius, selain beberapa kesan lain terhadap kerjaya seninya.


Post a Comment

Previous Post Next Post