'Assalamualaikum' versi baharu, solidariti terhadap Palestin


ROCKETFUEL Entertainment bersama-sama Astro menampilkan kembali lagu bertemakan kemanusiaan, Assalamualaikum, nyanyian asal dan ciptaan Faizal Tahir, Audi Mok, Mike Chan, Omar K dan Ezra Kong sebagai tanda solidariti terhadap kemelut peperangan yang melanda rakyat Palestin.

Versi ‘remake’ itu dirakam semula dan diberi nafas baharu dengan menampilkan barisan artis popular yang terdiri daripada Liza Hanim, Naqiu, Tomok, Aliff Aziz, Azharina, Hady Mirza, Noryn Aziz, Jaclyn Victor dan Nikki Palikat.

Tidak ketinggalan artis naungan Rocketfuel Entertainment sendiri seperti Hael Husaini, Zizan Razak, Elly Mazlein, Ara Johari, Wani Kayrie dan penampilan istimewa oleh Datuk Hattan, Mawi serta Zizi Kirana.

Ketua Muzik & Kandungan Rocketfuel Entertainment, Syakireen Othman, berkata, sebagai tanda sokongan terhadap bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Palestin, pihaknya terpanggil untuk bersolidariti melalui nyanyian bersama oleh artis-artis yang prihatin.

“Mengambil pendekatan berhibur sambil menderma, segala kutipan hasil sumbangan menerusi tontonan di YouTube dan juga penstriman lagu atas talian akan disalurkan kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di bawah naungan Kementerian Luar Negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi Ara, Assalamualaikum versi baharu itu diterima baik dan mengharapkan solidariti tersebut turut mendapat sokongan daripada orang ramai.

"Ini bukanlah hiburan semata-mata, ia merupakan salah satu usaha kita untuk membantu saudara kita yang berada di Palestin yang sangat memerlukan bantuan dan perhatian.

"Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, jangan lupa untuk terus memperkatakan tentang konflik yang sedang berlaku di Gaza.

“Muzik adalah medium universal dan salah satu elemen penting dalam menyampaikan mesej, dan secara langsung menunjukkan tanda solidariti dan keprihatinan kita,” katanya.

Selain lagu, Rocketfuel Entertainment juga turut menghasilkan sebuah video muzik (MV) eksklusif yang menampilkan artis-artis di bawah naungan label tersebut seperti Dinda Dania, Timah, Idris Brown, Syazwan Suhaimi dan Agy, serta penampilan daripada personaliti dan selebriti terkenal tempatan antaranya, Datuk Zainal Abidin Hassan, Razman Roslan, Dr. Soo Wincci serta Safee Sali, Daniel Fong dan ramai lagi.

MV Assalamualaikum versi baharu itu kini boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network. Lagu tersebut juga boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: langkah-berani-amir-hasan-muzik-hip-hop
ARTIKEL LAIN: hasrat-timah-mahu-tampilkan-single-ala
ARTIKEL LAIN: namun-kita-masih-punya-senjata-yang



[KREDIT FOTO: Rocketfuel Entertainment]

Post a Comment

Previous Post Next Post