Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Langkah berani Amir Hasan, muzik hip hop jadi taruhan baharu


PENYANYI Amir Hassan kembali merencana kerjaya nyanyian dengan  mengambil baharu menerokai muzik hip hop menerusi single Tango.

Jika pada awal kemunculannya sekitar tahun 2014, Amir dikenali sebagai penyanyi pop, kini bintang berusia 27 tahun itu mahu mencari kelainan dengan menghasilkan karya berbeza daripada sebelum ini.

Menurut Amir, minatnya terhadap muzik hip hop sebenarnya telah bermula ketika usianya 12 tahun, Malah dia dibesarkan dengan karya-karya lagenda hip hop tempatan seperti Joe Flizzow dan Malique (Too Phat), serta penyanyi hip hop terkenal dunia, seperti Eminem.

Pengaruh tersebut telah membentuk kemahiran dalam nyanyian 'freestyle', sekali gus mendorongnya menerokai genre yang dinamik itu.

"Saya sangat teruja untuk mengambil cabaran ini bagi meluaskan lagi spektrum identiti muzik. Tango merupakan karya yang dihasilkan dari suara alter ego saya dan tampil dengan gaya muzik yang berbeza. Single ini juga mencerminkan evolusi seni dan fleksibiliti dalam dunia muzik saya.

"Langkah berani ini juga mencerminkan tekad saya dalam menerokai karya hip hop ini dengan lebih jauh," ujarnya.

Tambahnya Amir lagi, Tango bakal memberikan pengalaman positif dan pengajaran yang baik kepada pendengar dalam menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan dedikasi dalam menuju kejayaan pada masa yang akan datang.

“Lagu Tango ini mengenai bukti kepada diri kita sendiri bahawa setiap orang mampu mengatasi sebarang cabaran dalam hidup.

"Malah bukan dari mana asal usul kita, tetapi kejayaan ini dapat diukur dengan usaha gigih yang dilakukan dan jangan ada perasaan tidak percayaan pada diri sendiri kerana ia merupakan aspek negatif dan halangan untuk diri maju kehadapan,” katanya.


Berkongsi pengalamannya ketika menghasilkan lagu tersebut, Amir berkata, proses penciptaan lagu tersebut bermula dengan sesi 'freestyle' spontan bersama rakan selebriti, Rebelasia berdasarkan perjalanan dan pengalaman mereka dalam dunia muzik.

"Proses rakaman lagu ini hanya mengambil masa lima jam untuk menghasilkan lagu Tango dengan sempurna. Saya akui bakal menghadapi cabaran akan datang kerana peralihan daripada penyanyi yang bergenre pop bertukar kepada muzik hip hop.

"Kemungkinan ia bakal menimbulkan keraguan di kalangan peminat. Namun, perkara ini bukan halangan kepada saya kerana kini lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku.

“Apa-apa pun saya sangat yakin lagu ini bakal memenangi hati dan mendapat sambutan hangat daripada peminat kerana karya ini bukan sahaja mengekalkan relevansi dengan trend terkini, tetapi juga merupakan citarasa pendengar sekarang terutamanya di laman sosial TikTok,” jelasnya.

Sementara itu, Rebelasia pula berkongsi perasaannya yang sangat teruja apabila mendapat peluang untuk bekerjasama dengan Amir Hasan dalam lagu terbitan syarikat rakaman Sony Music Malaysia itu.

“Semestinya saya sangat teruja kerana dapat melibatkan diri dalam lagu Tango. Kami berusaha dalam menyediakan sajian yang bermakna ini serta mengikut tren semasa yang mempunyai vibe hip hop yang catchy dan berharap pendengar dapat relate dengan diri mereka,” katanya.

Single Tango kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music. - 7KLIK




[FOTO: Sony Music Entertainment]

Post a Comment

0 Comments