Hasrat Timah mahu tampilkan single ala K-Pop, jadi kenyataan



PENYANYI dan pelakon remaja berbakat besar, Timah kini kembali dengan buah tangan terbaharunya, sebuah single berjudul 123.

Timah atau nama lengkapnya,  Fatimah Noryyah Mohd. Noor Kosygin, 16, berbesar hati apabila hasratnya untuk tampil dengan lagu Melayu yang mempunyai pengaruh K-Pop menjadi kenyataan.

Menurut penyanyi yang bakatnya dicungkil melalui rancangan realiti pertandingan nyanyian kanak-kanak, Ceria Megastar Ministar dan fasih berbahasa Mandarin itu, lagu tersebut menjalani rakaman bberapa bulan lalu selepas sambutan Hari Raya.

“Lagu 123 ini telah pun direkodkan pada awal tahun sejurus selepas Hari Raya, tetapi kami berdepan dengan beberapa halangan dan akhirnya lagu ini dapat juga dilancarkan pada bulan Oktober lalu.

“Saya sebenarnya teringin untuk menyanyikan sebuah karya seakan-akan K-pop, tetapi masih ada ciri kemelayuannya dengan melodi yang tidak terlalu berat, lebih santai dan boleh didengar oleh setiap lapisan umur. Jadi abang Iqie dan Aniq berjaya merealisasikan impian saya," ujarnya.


Tambah Timah lagi, karya ciptaan Iqie Hugh bersama Aniq Iffat itu menceritakan tentang perasaan seorang remaja yang tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan orang yang disukainya dan ibarat mengira waktu untuk berjumpa seperti satu, dua, tiga!

"Proses rakaman lagu ini berlangsung di World Peace Studio selama dua jam. Sangat mudah bekerjasama dengan abang Iqie, dia sungguh profesional dalam pekerjaannya dan team Rocketfuel Entertainment turut membantu menaikkan semangat saya.

“Rakaman muzik video (MV) turut dilakukan bersama team Rocketfuel dan saya seronok melakukannya. Ia menceritakan tentang seorang gadis yang sedang menikmati makanan di sebuah restoran, tiba-tiba muncul seorang ‘prince charming’ membawa hidangan beserta sekeping nota. Kalau hendak tahu apa kesudahannya kena tonton di YouTube nanti," katanya.

Sebagai artis muda, Timah mengakui perjalanan seninya masih jauh dan banyak yang perlu ditimba.

“Saya selalu percaya diri, jangan takut dan membiarkan kekurangan mengatasi diri. Sepanjang berada dalam industri ini, saya memperoleh banyak sokongan daripada keluarga serta Rocketfuel. Mereka banyak membantu dalam pelbagai perkara.

“Saya berharap agar lagu ini mendapat sambutan daripada semua yang mendengarnya dan terutama dalam kalangan peminat-peminat muzik K-pop di malaysia," katanya penuh harap.


Lagu 123 kini boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Sementara lirik video single pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. - 7KLIK




[FOTO: Rocketfuel Entertainment]


Post a Comment

Previous Post Next Post