Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Full House! Lambang Sari Series 2023 bukti muzik klasikal semakin diminati ramai


J
IKA sebelum ini persembahan muzik klasikal sering dikaitkan dengan hiburan untuk golongan elit dan diminati kelompok usia tertentu, kini tidak lagi apabila ia semakin diminati ramai dan dekat dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Terbaru, Orkestra Simfoni Kebangsaan atau National Symphony Orchestra (OSK/NSO) menerusi persembahan Lambang Sari Series (LSS) 2023, bertemakan A Celebration of Classical Music di Istana Budaya berjaya menarik ramai penonton untuk hadir menyaksikan empat siri persembahan muzik klasikal itu yang diadakan sejak Julai.

Sabtu lalu, LSS 2023 menutup tirai dengan satu persembahan yang cukup memukau daripada OSK dengan menampilkan karya-karya daripada Felix Mendelssohn dan Mozart atau nama sebenarnya Wolfgang Amadeus Mozart.

Persembahan di bawah pimpinan konduktor muzik Nasran Nawi itu melibatkan seramai 35 pemuzik OSK dan lima pemuzik jemputan. Lebih menarik, ia turut menampilkan pemain solo piano, Celestin Yoong Qian Yi, alumni program PERMATA Seni Muzik yang kini sedang meneruskan pengajian Sarjana di Universiti for Music and Performing Arts di Vienna, Austria. 

Apa yang membanggakan kehadiran penonton pada persembahan ini sangat memberangsangkan apabila Panggung Sari Istana Budaya dipenuhi penonton yang bukan hanya didominasi golongan tertentu, tetapi turut dimeriahkan generasi muda pelbagai latar belakang.

Satu perkembagan yang cukup positif kerana sebelum ini persembahan serupa kurang mendapat perhatian umum, mungkin disebabkan tidak banyak pendedahan tentang muzik klasikal diberikan kepada umum.

Justeru langkah dan ruang yang diberikan Istana Budaya tentunya menjadi satu inisiatif yang cukup baik dalam usaha untuk menarik minat lebih ramai penonton mendekati muzik ini.

Zuraidah menyampaikan cenderahati kepada Celestin Yoong Qian Yi.


Menurut Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar,  OSK telah berjaya membawa satu fenomena muzik simfoni kepada rakyat Malaysia khususnya dalam pembangunan kecemerlangan artistik Malaysia MADANI ke tahap antarabangsa dan masyarakat tempatan berpeluang merasainya sendiri di pentas Istana Budaya.

"Hasil sokongan daripada masyarakat tempatan, Istana Budaya telah berjaya mencapai penjualan tiket full house untuk keempat-empat siri LSS 2023 dengan kutipan sebanyak RM141,090.00 dan sejumlah 4,703 orang penonton dengan harga tiket RAHMAH serendah RM30 (flat rate)," ujarnya.

Persembahan orkestra muzik klasikal barat yang merangkumi empat siri persembahan itu memberi penonton merasai persembahan orkestra muzik dari era Barouque, Classical hingga ke era Romantique.



Sementara itu, Konduktor OSK, Nasran Nawi mengakui teruja melihat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai golongan tidak mengira kelas kumpulan dan bangsa.

"Alunan muzik dapat menyentuh perasaan apabila kata-kata tidak dapat diungkapkan.

"Kami juga ingin memberikan peluang kepada bakat muda untuk menyerlahkan bakat sebagai pemain muzik profesional dan merasai pengalaman mengadakan persembahan secara solo dengan iringan muzik orkestra bersama OSK," katanya.

Terdahulu, siri pertama LLS 2023 diadakan pada 8 Julai  lalu dengan menampilkan Foo Chie Haur sebagai pemain solo seruling (flute). Diikuti siri kedua pada 9 September  telah menampilkan Bryan Lee Kit Meng sebagai pemain solo hap (harp) dan siri ketiga pada 21 Oktober yang merupakan full string orchestra oleh OSK bersama pemuzik jemputan. - 7KLIK


[KREDIT FOTO: Istana Budaya]











Post a Comment

0 Comments