Hot Posts

6/recent/ticker-posts

You & Me dominasi carta lagu iTunes global, Jennie cetus fenomena


Oleh: AILEEN ADAM

MENUNAIKAN janjinya kepada peminat, Jennie Blackpink akhirnya tampil  dengan single terbaharu, You & Me yang kini secara rasminya dirilis di semua platform digital muzik (global) sekitar 1 tengah hari (waktu Korea Selatan), pada Jumaat.

Sejak berita tersebut diumumkan agensinya, YG Entertainment pada 4 Oktober lalu, para peminat menunjukkan keterujaan mereka terhadap karya istimewa itu yang terlebih dahulu mencuri perhatian ramai sejak dibawakan Jennie, dalam beberapa siri persembahan dalam konsert jelajah Blackpink: Born Pink World Tour sepanjang setahun lalu.

Jika dua hari lalu poster lagu You & Me yang menampilkam bintang asal Korea Selatan itu dengan persalinan merah meraih pujian ramai, kini cover rasmi single tersebut yang dihasilkan dalam bentuk ilustrasi (art) menyaksikan Jennie tampil dalam karakter komik popular Jepun, Sailor Moon pula menjadi bualan hangat sehingga trending di media sosial.

Apatah lagi, ilustrasi untuk poster tersebut mendapat sentuhan ekslusif daripada penulis komik itu sendiri, Naoko Takeuchi. Sangat cantik dan terlihat begitu istimewa. Poster terbabit turut dikongsi menerusi akaun Instagram rasmi komik tersebut, @sailorvenus30th.

Terdapat juga ura-ura yang mengatakan Jennie bakal berkolaborasi dengan jenama komik tersebut untuk menghasilkan merchandise daripada karakter kegemaran ramai itu.

Pengaruh dan populariti Jennie sememangnya luar biasa apabila tidak sampai 24 jam lagu You & Me dirilis, ia pantas tersenarai dan menduduki tangga teratas dalam pelbagai carta lagu popular.

Lebih membanggakan lagu tersebut turut mendominasi dan berada di tangga teratas carta iTunes di lebih 50 buah negara di seluruh dunia termasuk Malaysia. Sementara di Korea Selatan pula, ia turut mengungguli carta lagu utama seperti Vibe, Bugs, Melon dan Genie. 

Tidak hanya itu, video persembahan tarian (bukan muzik video rasmi) You & Me di saluran YouTube juga sudah meraih 10 juta tontonan dan terus menunjukkan peningkatan pantas. Malah video itu juga sedang trending No.1 YouTube seluruh dunia.

Pemilik nama penuh Jennie Kim, 27, kini trending apabila menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di pelbagai platform, selain berkongsi video persembahan lagu itu dalam setaip hantaran di media sosial sehingga menjadi tular.

Bukan itu sahaja, Jennie juga mendapat perhatian daripada pihak media menerusi artikel-artikel serta ulasan positif berkenaan karya terbabit. Dia ternyata mencipta fenomena tersendiri.

Suatu pencapaian yang luar biasa kerana You & Me bukanlah single eksklusif yang pertama kali diperkenalkan, sebaliknya telah didengarkan selama setahun sepanjang konsert jelajah Blackpink apabila Jennie membawakan lagu tersebut bersama koreografi tarian unik yang menjadi ikutan ramai.

Difahamkan You & Me dihasilkan sejak empat tahun lalu selepas single pertamanya, Solo menemui peminat pada 2018. Tidak hanya menyumbang vokal uniknya, idola kesayangan ramai itu juga terlibat dalam penulisan lirik (rap) dan dikreditkan sebagai antara yang terlibat dalam proses penciptaan lagu serta koreografi untuk video persembahan lagu itu.

Bintang yang digelar 'Global IT Girl' itu benar-benar memberikan sepenuh jiwanya untuk lagu tersebut dan mahu memastikan karya tersebut bukan hanya dapat memuaskan hatinya, tetapi juga para penggemar muzik serta peminat.

Jennie sebelum ini pernah berkata, mahu memberikan hadiah istimewa buat para peminatnya atau lebih dikenali sebagai Blink yang sentiasa memberikan sokongan terhadap dirinya selama ini dan ternyata apa yang dimaksudkan itu adalah You & Me

Difahamkan duta jenama fesyen terkemuka, Chanel dan Calvin Klein ini juga kini dalam proses pembikinan  album solonya yang bakal dirilis dalam masa tidak lama lagi. Projek tersebut juga bakal memberikan kelainan dalam usaha untuk menonjolkan kecenderungan muzik pilihannya.

Biarpun begitu, status pembaharuan kontrak Jennie bersama YG Entertainment masih lagi menjadi tanda tanya sehingga kini. Baik Jennie mahupun pihak agensinya dilihat lebih selesa mendiamkan diri berhubung perkara itu sehingga kesepakatan diputuskan kelak.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 


Post a Comment

0 Comments