Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Radja kembali ke Kuala Lumpur, bakal kongsi pentas bersama Ella



OLEH: AILEEN ADAM

KUMPULAN popular Indonesia, Radja bakal mengadakan konsert istimewa buat para peminat di Malaysia pada 12 November depan.

Persembahan yang diberi nama Live In Concert Radja yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur itu dibawakan oleh Orange International Entertainment selaku penganjur.

Radja yang dianggotai Ian Kasela selaku vokalis, Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) itu menganggap konsert sebagai satu penghormatan buat mereka. Apatah lagi pada persembahan tersebut, mereka bersama-sama Ratu Rock Negara, Ella bakal disatukan pada satu pentas sama.

“Ini merupakan idea yang sudah lama diidamkan bahawa Radja ingin sekali berkolaborasi dengan ratu rock Malaysia, Ella di pentas yang sama dan pihak penganjur Orange Entertainment International berjaya merealisasikannya.

“Dua lagu hits kami Jujur dan Takkan Melupakanmu nyanyian Ella sangat indah didengar, maka kami gabungkannya lalu menjadi tema buat konsert kali ini di samping menjalin perpaduan muzik di antara Indonesia-Malaysia yang sememangnya akrab sejak dahulu lagi,” ujar Moldy.

Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dan juga peminat.

“Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat dan mahu sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” tambah Seno.

Dalam pada itu, Ian berharap para peminat mereka di Malaysia tidak melepaskan peluang untuk hadir memeriahkan konsert tersebut kelak.
 
“Kami hanya mahu melepaskan rindu bersama peminat-peminat di Malaysia dan yuk mari kita sama-sama enjoy pada malam konsert nanti. Jumpa anda semua pada tanggal 12 November nanti," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Orange Entertainment International, Datuk Fadzli Idrus, menyihatkan Radja adalah sebuah band legendaris Indonesia yang tidak perlu diperkenalkan lagi.

"Kami gabungkan Radja dengan ratu rock kita, Ella dalam sebuah konsert gilang-gemilang buat tatapan peminat-peminat rock di Malaysia, di samping menyahut baik permintaan Radja yang mahukan Ella untuk turut serta bersama-sama mereka di pentas yang sama.

“Saya berharap peminat rock Indonesia dan Malaysia akan terhibur, dan jangan lupa untuk membeli tiket konsert sebelum terlambat," katanya.
 
Tiket konsert dijual dengan harga RM168, RM148, RM528 (VVIP), RM238 (Platinum) dan RM198 (Gold). Pembelian boleh dibuat menerusi ticket2u.com.my .  - 7KLIK




Post a Comment

0 Comments