Konsert Bornpink Finale penuh emosi - Status pembubaran Blackpink, ucapan Lisa, tangisan Jennie terus cetus tanda tanya



Oleh: AILEEN ADAM

KONSERT Blackpink - Born Pink World Tour menutup tirai dengan persembahan luar biasa yang berlangsung di Gocheok Sky Dome, Seoul, Korea Selatan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Konsert finale dua malam itu tidak hanya hangat dengan aksi hebat daripada Blackpink yang dianggotai oleh Jennie, Jisoo, Rose dan Lisa, tetapi turut mencetus suasana penuh emosi buat penonton terutamanya peminat setia mereka yang dikenali sebagai Blink di seluruh dunia.

Ia berkaitan spekulasi pembubaran kumpulan tersebut setelah kontrak mereka bersama agensi YG Entertainment berakhir pada Ogos lalu dan belum diperbaharui. Status pembaharuan kontrak Blackpink bersama agensi itu masih menjadi tanda tanya sehingga kini, malah belum ada sebarang pengumuman rasmi dibuat berkenaan perkara tersebut.

Spekulasi terbabit semakin hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lalu apabila salah seorang anggotanya, Lisa, 26, didakwa menolak pembaharuan kontrak dengan agensi terbabit dan gagal mencapai kesepakatan bersama. Tidak hanya itu, idol asal Thailand tersebut dikatakan menjadi buruan pelbagai agensi antarabangsa yang tampil menawarkan kontrak lebih menarik dan lumayan. 

Situasi itu menimbulkan pelbagai andaian termasuk Blackpink dikatakan bakal berpecah dan konsert finale tersebut benar-benar menjadi yang terakhir buat mereka sebelum membawa haluan masing-masing setelah tujuh tahun bersama selepas debut pada 2016. 

Pada konsert malam pertama, Blackpink memberikan 'hint' bakal mengumumkan sesuatu pada konsert malam kedua, sekali gus mencetuskan kegelisahan peminat sehingga ada dalam kalangan mereka yang begitu emosi sepanjang menonton konsert terbabit.

Kegelisahan semakin nyata apabila seawal konsert malam kedua bermula, keempat-empat anggota Blackpink itu beberapa kali kelihatan beremosi dan gagal menyembunyikan kesedihan pada raut wajah mereka, seolah-olah sedang menahan air mata sehingga kadang-kala sedikit menganggu persembahan terutama pada segmen terakhir. 

Lebih mencurigakan ketika sesi menyampaikan mesej terima kasih mereka kepada peminat, Lisa satu-satunya anggota yang menyediakan ucapan yang ditulis khas dalam nota di telefon bimbit yang mana tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Apatah lagi isi ucapannya juga berbunyi seolah-olah mesej selamat tinggal buat peminat dan bayangan untuk memulakan langkah baharu.

"I actually wrote on my phone what i wanted to say to Blink, so i don't forget.

"It's already been 2596 days since we met. During this tour, we were with Blink. So we got to perform  at such amazing venues. Without Blink, we wouldn't have been able to do it. Even when the weather is good or bad, thank you for always enjoying and cheering with us until the end.

"Thank you for all the Blink for giving me this amazing experience. I love you so much and thank you so much for making my 20's shine bright with me. Thank you Blink, I love you."


Pun begitu, tiada sebarang pengumuman yang dilakukan Blackpink sepanjang konsert berlangsung. Namun peminat mampu menarik nafas lega apabila Jennie dalam ucapannya seperti memberikan sedikit harapan bahawa Blackpink akan terus mengorak langkah ke depan dalam kerjaya mereka.

"To our Blink, thank you for always cheering us on and loving us. We'll work hard and continue to be cool Blackpink. I love you."


Kenyataan daripada Jennie itu dikongsi dengan pantas dan tular di media sosial terutamanya TikTok untuk menenangkan para peminat mereka yang masih keliru tentang status sebenar mereka selepas konsert finale berakhir. 

Peminat memberikan reaksi yang berbaur, di mana ada yang menerima dengan positif dan sebaliknya. Tidak kurang ada dalam 
kalangan mereka membuat andaian bahawa kalau pun benar apa yang dikatakan Jennie iaitu Blackpink akan meneruskan kerjaya mereka, berkemungkinan selepas ini kumpulan itu hanya akan bertiga dan tampil sebagai trio.

Ini kerana kebarangkalian Lisa meninggalkan YG Entertainment dan membawa haluan berbeza sangat tinggi berdasarkan beberapa teori yang diperkatakan, apatah lagi dengan mesej dalam ucapannya yang seolah-olah memberi bayangan tentang keputusan yang bakal dibuat selepas ini. 

Apa-apa pun selagi belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada YG Entertainment, andaian hanya tinggal andaian dan teori sekadar teori. Apa yang pasti, Lisa, Jennie, Jisoo mahu pun Rose, masing-masing sudah melakukan yang terbaik buat Blackpink. Cuma mungkin pada satu-satu ketika mereka juga mempunyai perancangan tersendiri dalam menyempurnakan impian dalam kerjaya seni dan hidup mereka.

Dalam pada itu, tahniah kepada Blackpink yang tampil dengan persembahan cemerlang dan memorable buat semua penggemar mereka terutamanya untuk persembahan pada malam pertama. Mereka sudah memberikan yang terbaik, mencipta fenomena dan berada di kelas yang tersendiri. 

Pada konsert yang turut boleh ditonton secara penstriman, kumpulan sensasi yang mempunyai peminat tegar di seluruh dunia itu menyampaikan lebih 20 buat lagu hit seperti Pink Venom, Shutdown, Kill This Love, How You Like That, Ddu-Du Ddu-du, Tally, Typa Girl, Lovesick Girls, Ready For Love, Pretty Savage, Don't Know What To Do Without You, Really, Yeah Yeah Yeah, Crazy Over You, Kick It, Playing With Fire, Forever Young, Stay, Boombayah, Whistle dan As If It's Your Last.   

Tidak ketinggalan lagu nyanyian solo seperti Solo/You & Me daripada Jennie, All Eyes On Me/Flower (Jisoo), Gone/On The Ground (Rose) dan Lalisa/Money (Lisa).

Difahamkan konsert finale Blackpink baru-baru ini juga turut dihadiri sederetan idol dan selebriti popular lain termasuk kumpulan Aespa, Taeyang (BigBang), Seulgi (Red Velvet), Lee Je-hoon, Lee Dong Hwi, Baby Monster, Kim Minju, Lee Hyeri, Bae Doona, Bona WJSN, Ko So Young, Shin Seul Ki, Kim Hye Jun dan ramai lagi.   

Terdahulu Blackpink memulakan konsert jelajah Born Pink mereka di Seoul, Korea Selatan pada 15 Oktotober tahun lalu dan seterusnya ke beberapa negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Perancis, Mexico, Dubai, Australia, Jepun,  Taiwan, Hong Kong, Macau, Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan lain-lain.

Blackpink mencipta sejarah tersendiri dalam kerjaya mereka apabila kesemua tiket untuk 66 persembahan di setiap lokasi terbabit habis terjual dalam masa singkat.  - 7KLIK   

ARTIKEL LAIN: 







Post a Comment

Previous Post Next Post