Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Noah tunai janji, kembali hiburkan peminat Malaysia di pentas lebih besar



BAND popular Indonesia, Noah mengotakan janji apabila bakal kembali mengadakan persembahan berskala lebih besar di Malaysia pada 11 November depan.

Konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur yang dibawakan oleh YOLO Malaysia itu akan berlangsung di Mega Star Arena, Sg Wang Plaza.

Kumpulan yang dianggotai Ariel selaku vokalis, Lukman (gitaris) dan David (keyboard) itu bakal menghiburkan peminat dengan 20 buah lagu termasuk single baharu mereka.

Ariel ketika mengadakan konsert pada tahun lalu, pernah menyuarakan hasratnya untuk kembali tampil mengadakan persembahan di Kuala Lumpur di lokasi yang lebih besar demi para peminat mereka dan kini ia menjadi kenyataan.

“Semoga tahun depan kita bertemu lagi dalam sebuah acara sebegini dan lokasinya lebih besar," katanya.

Selain Malaysia, Noah juga akan turut beraksi di Singapura pada penghujung tahun ini.

Menurut Penerbit Eksekutif YOLO Malaysia, Haniff Hamzah, 

oleh kerana kejayaan konsert Noah Live In KL pada tahun lalu, pihaknya kembali membawakan band popular itu ke Kuala Lumpur.

"Dengan kehadiran lebih 2,500 penonton bukan sahaja dari Malaysia, bahkan Singapura, Brunei dan juga Indonesia, serta jualan tiket yang ‘sold-out’ dalam masa kurang dua jam, kami bawakan Noah sekali lagi pada tahun ini seperti yang dijanjikan.

"Kerjasama yang terjalin di antara YOLO Malaysia dan Noah ternyata ‘menjadi’ dan demi memenuhi kehendak peminat yang tidak berpeluang hadir ke konsert lalu, konsert kali ini menyediakan lokasi yang lebih luas bagi menampung lebih ramai penonton dengan pengalaman yang lebih hebat.

“Noah menjanjikan persembahan yang berbeza dengan tema yang berbeza setiap kali membuat persembahan, tambahan pula konsert Noah Menemaniku Kuala Lumpur adalah konsert terakhir mereka di Malaysia sebelum berehat dalam jangka masa yang panjang,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd Taufik, persembahan Noah akan diiringi beberapa pemain muzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

“Susunan muzik untuk persembahan ini turut diperbaharui sekali gus menjanjikan kelainan dan tidak pernah didengari sebelum ini. Ditambah pula dengan konten visual istimewa demi kepuasan pengalaman muzik sebenar," katanya.

Terdahulu, YOLO Malaysia mengadakan jualan tiket konsert atas talian pada 7 Oktober lalu khusus buat YOLO Family (bagi mereka yang pernah membuat pembelian konsert-konsert YOLO sebelum ini) dengan potongan harga istimewa atau diskaun. - 7KLIK


[KREDIT: YOLO Malaysia]




Post a Comment

0 Comments