Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Juara Bintang Kecil 2023, milik siapa?



MALAM Kemuncak pertandingan Bintang Kecil 2023 bakal menyaksikan lapan finalis berentap untuk merebut gelaran juara pada 3 September ini.

Program yang diadakan di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak itu mempertaruhkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM90,000.

Lapan peserta tersebut terdiri daripada adik Nurfarina Farha Abdul Zahir dari Selangor, Muhammad Nur’Iman Darwisy Mohd Noorazreen (Kuala Lumpur), Muhammad Shazril Izrul Mohd Shamsul (Kedah) dan Wa’ie Mohd Zain (Johor).

Diikuti Fateeha Nasleen Suhaillin (Sabah), Mohd Alif Ikmal Danial Azawan (Sabah), Elle Precious Arnold (Sarawak) dan Nur Qasih Umairah Abdullah (Sarawak).

Format pertandingan dibahagi kepada dua pusingan di mana pada pusingan pertama peserta akan membawakan lagu solo, manakala pusingan kedua mereka diberikan tugasan berduet sesama mereka.

Juara Bintang Kecil 2023 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000, manakala naib juara RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000. Sementara hadiah untuk sagu hati berjumlah RM5,000 setiap seorang.

Malam kemuncak Juara Bintang Kecil 2023 akan bersiaran secara langsung mulai jam 8 malam untuk acara Karpet Merah dan 9 malam untuk persembahan menerusi saluran TV2.

Program yang juga boleh juga ditonton menerusi Penstriman Langsung Facebook RTM Sarawak dan RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) itu menampilkan gandingan dua pengacara Azam Pitt dan Sweet Qismina.

Sementara barisan artuis yang bakal membuat persembahan pula terdiri daripada Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Hijrah Yahya.

Pertandingan anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini merupakan platform terbaik bagi mengasah bakat dan menggilap bakat-bakat cilik selari dengan keperluan dan kehendak industri hiburan di samping membina keyakinan diri mereka agar terus cemerlang dalam apa-apa jua bidang yang diceburi oleh mereka kelak. - 7KLIK



Post a Comment

0 Comments