Hot Posts

6/recent/ticker-posts

4 EPISOD KHAS MAJALAH 3, MENYEMARAKKAN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN MALAYSIA



PROGRAM dokumentari TV3, Majalah 3 tidak pernah menghampakan penonton setianya dengan dokumentari yang membawakan pelbagai kisah Malaysia daripada aspek kemanusiaan, budaya, makanan, teknologi, sukan dan alam sekitar.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Majalah 3 membawakan empat episod khas secara eksklusif bermula 21 Ogos 2023, setiap hari Isnin, 9 malam di TV3 dan strim langsung HD di www.tonton.com.my

Menurut Penerbit Kanan Majalah 3, Christine Lee Mei Chin, istimewa buat tontonan ramai di bulan kebangsaan, Majalah 3 memaparkan empat episod khas untuk menaikkan semangat patriotisme rakyat Malaysia.

"Barisan wartawan Majalah 3 yang berpengalaman bakal menelusuri kisah-kisah menarik yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia.

"Kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang memudahkan urusan kru Majalah 3 dari peringkat menjalani penyelidikan, mencari informasi, proses penggambaran sehinggalah pasca penerbitan.

"Ribuan terima kasih atas bantuan dan kepercayaan yang diberikan kepada kru Majalah 3 untuk meneruskan misi kami menghasilkan dokumentari terbaik buat tatapan umum," ujarnya.


SINOPSI EMPAT EPISOD KHAS

Tarikh siaran: 21 Ogos 2023
Acara bertaraf dunia Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA’23 kembali menggegarkan negara selepas tergendala beberapa tahun akibat pandemik Covid-19.

Ketika penggambaran, wartawan bertugas Zerry Francis dan Nor Izzati Lockman bersama kru telah diberi akses khas mendekati pelbagai pesawat dan kapal dari luar negara, serta latihan persiapan daripada pelbagai agensi penguatkuasa Malaysia.


Tarikh siaran: 28 Ogos 2023
Majalah 3 ingin mengajak penonton untuk mengikuti kisah komitmen segelintir rakyat Malaysia menjejak khazanah berkaitan sejarah negara baik di samudera, mahupun belantara bagi menghayati nilai sejarah secara dekat.

Wartawan bertugas liputan ini Mohd Rose Abdullah dan Nur Aishah Al-Husna Ramli perlu menempuh laut dalam dan kawasan pergunungan bersama kru bagi merakam penemuan penjejak berkenaan terhadap Kapal Nichi Asu Maru, sebuah kapal Jepun yang membawa minyak pesawat yang karam ditembak British dalam perjalanan ke Sabah dan Sarawak pada 1960.

Mereka juga menjejaki rangka helikopter jenis Bristol milik tentera Amerika Syarikat, yang difahamkan terhempas pada 1957 di belantara Malaysia.


Tarikh siaran: 4 September 2023
Bertepatan dengan tema kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu Manis Pahit Bersama, episod ini mengetengahkan tema makanan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk yang menyatukan rakyat negara ini.

Ikuti laporan wartawan bertugas Asyraf Naqiuddin Samsuri mengecapi pelbagai menu masyarakat Melayu, Cina dan India yang menyerlahkan perpaduan semua kaum ini.


Tarikh siaran: 11 September 2023
Majalah 3 memaparkan kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 yang kini pencakar langit kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia, yang membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Wartawan bertugas Zerry Francis bersama kru telah mengambil masa setahun mengikuti proses pembinaan fasa akhir menara ini dan kemuncaknya satu kejutan akan dibuat pada 3 Ogos.


Jangan ketinggalan untuk menyaksikan empat episod khas Majalah 3 bersempena dengan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bermula 21 Ogos 2023, setiap hari Isnin, jam 9 malam dan anda juga boleh strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my .












Post a Comment

0 Comments