PENGISIAN rohani tidak semestinya hadir dalam bentuk yang konvensional. Dalam dunia yang semakin dekat dengan seni, hiburan dan kandungan kreatif, mesej keagamaan juga boleh disampaikan menerusi pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan generasi muda.
Membawa semangat itu, Istana Budaya dan TV AlHijrah buat julung kalinya bergabung menerusi program Nuansa Urban Rohani 2026 (NUR26), Hijrah Malam Cinta Rasul, yang bakal berlangsung pada 25 Ogos 2026 di Lambang Sari dan Laman Beringin, Istana Budaya.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah, NUR26 hadir sebagai sebuah platform yang cuba mendekatkan masyarakat, khususnya golongan muda, kepada pengisian Islam menerusi pendekatan seni, kreativiti dan interaksi komuniti.
Kerjasama antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut mendukung aspirasi Malaysia MADANI dengan mengangkat nilai kerohanian dan ihsan dalam suasana yang lebih dekat dengan perkembangan semasa.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin, berkata NUR26 bukan sekadar ruang untuk menikmati persembahan, sebaliknya membawa misi untuk mendekatkan masyarakat kepada pengisian rohani dalam suasana yang lebih santai dan segar.
“Kita berharap NUR26 dapat menjadi satu platform yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi pada masa yang sama membawa pengisian dan mesej kerohanian yang dekat dengan hati masyarakat, khususnya golongan muda serta menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW,” ujarnya.
Bukan sekadar persembahan pentas, NUR26 menggabungkan selawat, seni persembahan, muzik kontemporari Islam, multimedia serta pengalaman spiritual dalam suasana yang lebih segar, moden dan santai.
Pendekatan itu turut diterjemahkan menerusi pengisian yang menyentuh dunia teknologi, muzik, visual dan kandungan kreatif, sekali gus memperlihatkan bagaimana dakwah boleh disampaikan dalam bentuk yang lebih relevan dengan generasi hari ini.
Dari Seni Hingga Refleksi Quran
Sepanjang program, pengunjung boleh mengikuti pelbagai aktiviti yang berlangsung di Lambang Sari dan Laman Beringin. Antaranya Pencarian Urban Muazzin, Podcast Tausiah & Ibrah bersama Ustaz Jalal Zaiki dan Ustaz Izmir Fareez, selain Refleksi Quran ‘Dari Mata Turun ke Hati’ bersama Ustaz Husaini Mahmur dan Ustaz Ahmad Tirmizi Haji Ali. Turut diketengahkan ialah Satu Hati, Satu Saf yang melengkapkan rangkaian pengisian sepanjang NUR26.
Di Laman Beringin pula, kemuncak program bakal menghidangkan Kanvas Seni Islam, Mualamat Corner, Resonansi Quran dan Letter to Rasulullah.
Kanvas Seni Islam menjadi antara tarikan utama malam kemuncak apabila elemen berzanji, marhaban, qasidah, tarannum, nasyid dan sketsa digabungkan dalam sebuah persembahan santai yang berteraskan nilai Islam.
Sementara itu, Letter to Rasulullah memberi ruang kepada pengunjung menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW menerusi nota bertemakan “Kalau saya dapat berjumpa dengan Rasulullah…”.
Nota yang ditulis akan dipamerkan menerusi Wall of Love Rasulullah, menjadikannya sebahagian daripada pengalaman kolektif yang mengangkat luahan dan kecintaan pengunjung terhadap Rasulullah SAW.
NUR26 turut menampilkan barisan selebriti dan ikon Islam jemputan, antaranya Ahmad Fetri Yahya, Ustaz Hariri Daud, Ustaz Mohamad Yusuf Kassim, Heliza dan Hazwani Helmi, Wan Sharmila, kumpulan Inteam, Hijjaz, NowSeeHeart, Faheem, Zayne, Al Maqari serta Ustaz Azraie Abdul Hak sekeluarga.
Bagi memastikan kemeriahannya dapat dikongsi lebih meluas, Istana Budaya turut menjalinkan kerjasama strategik dengan TV AlHijrah dan IKIMfm untuk mempromosikan NUR26.
Program itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV AlHijrah dan IKIMfm, membolehkan masyarakat yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal turut mengikuti pengisian yang disediakan.
Pengunjung yang hadir juga boleh singgah ke reruai rakan strategik NUR26 di ruang lobi Bangunan Panggung, antaranya Tabung Haji, Kementerian Dalam Negeri, Islamic Tourism Centre, Tourism Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia.
NUR26 menggabungkan seni, muzik, teknologi dan pengisian kerohanian bagi menawarkan pengalaman Maulidur Rasul yang lebih segar kepada masyarakat. Namun, di sebalik pendekatan yang santai dan kreatif itu, mesej utamanya tetap sama, menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments