Marsha, Adira, Nadeera & Aisha Warnai Semula 'Cinta Di Akhir Garisan 2.0'

Empat vokal generasi semasa, Aisha Retno, Adira Suhaimi, Nadeera dan Marsha Milan untuk Cinta Di Akhir Garisan 2.0

BAGI peminat muzik yang membesar pada era 1990-an, Cinta Di Akhir Garisan bukanlah judul yang asing. Lagu yang pernah menemukan empat vokal wanita popular itu meninggalkan memori tersendiri, malah kekal dikenang walaupun zaman sudah berubah.

Kini, hampir tiga dekad kemudian, memori tersebut dikembalikan dalam suasana dan susunan muzik berbeza. Cinta Di Akhir Garisan 2.0 (CDAG 2.0) menyatukan Marsha Milan, Adira Suhaimi, Nadeera dan Aisha Retno untuk memberikan tafsiran baharu kepada karya yang pernah dipopularkan Ziana Zain, Nora, Ning Baizura dan Dessy Fitri itu.

Versi asal yang merupakan saduran End of the Line ciptaan Paul Begaud dengan lirik oleh Johari Teh itu kini diberi nafas baharu menerusi pendekatan berbeza yang tidak cuba menenggelamkan kekuatan karya terdahulu.

Ajai yang menggalas tugas sebagai komposer dan penerbit muzik memilih untuk membina acuan tersendiri bagi CDAG 2.0, sesuai dengan karakter empat penyanyi generasi semasa ini.

“Apa yang saya tampilkan kali ini merupakan acuan baharu yang sesuai dengan barisan pelapis yang saya ketengahkan. Tidak adil kalau hendak dibandingkan dengan versi terdahulu kerana ia tetap unggul dalam kelasnya yang tersendiri.

“Kelainan versi ini jelas menerusi pembaharuan susunan muzik dan penglibatan Budapest Scoring Orchestra. Ditambah pula dengan sentuhan Mac Chew serta beberapa pemuzik tempatan seperti Ujang, Shah dan Gideon. Bunyinya begitu gah,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video lagu berkenaan di Hotel Marriott Petaling Jaya, pada Khamis.

Bagi Usanita Entertainment selaku penerbit, CDAG 2.0 dihasilkan dengan harapan ia mampu berdiri dengan kekuatan tersendiri, bukan sekadar bersandar pada nostalgia karya asal. 

Atas sebab itu, perhatian turut diberikan kepada setiap aspek produksi bagi memastikan versi baharu ini hadir dengan kualiti yang mampu bertahan sebagai sebuah karya malar segar.

Pemilihan Marsha, Adira, Nadeera dan Aisha pula mengambil kira kesesuaian karakter vokal, pencapaian serta populariti mereka, selain kemampuan membawa karya berkenaan kepada pendengar generasi hari ini.

Menurut Marsha, tanggungjawab menghidupkan semula lagu yang sudah mempunyai tempat dalam sejarah muzik tempatan sememangnya besar. Namun, kelainan susunan dan pembahagian vokal memberikan mereka ruang untuk menghasilkan sesuatu yang lebih dekat dengan identiti masing-masing.

“Saya dan ketiga-tiga sahabat saya telah memberikan yang terbaik. Saya teruja dan yakin peminat pasti faham kehendak dan tuntutan versi 2.0 kerana ada banyak perbezaannya.

“Salah satunya ialah pembahagian nyanyian yang berbeza. Ini juga memberikan kepuasan kepada setiap daripada kami yang terlibat,” katanya.

Adira pula tidak menjangka bakal menjadi sebahagian daripada projek tersebut. Rasa terkejut bertukar menjadi penghargaan apabila menyedari peluang itu datang bersama kepercayaan terhadap kemampuan vokalnya.

“Saya sangat terkejut dan semestinya berasa sangat bertuah apabila terpilih kerana saya tahu tanggungjawab ini memang besar. Tetapi saya percaya Ajai memberikan tawaran ini kerana percaya kepada bakat yang saya ada. Kami juga pernah bekerjasama untuk projek lagu solo,” katanya.

Tafsiran Baharu

Pertemuan empat vokal ini juga bukan tentang siapa yang paling menonjol. Sebaliknya, setiap penyanyi diberikan bahagian yang seimbang supaya kekuatan mereka dapat dirasakan tanpa mengganggu karakter vokal yang lain.



Nadeera melihat pendekatan tersebut sebagai antara perkara yang membezakan CDAG 2.0 daripada versi asal.

“Kami semua memang teruja dan bersedia mendengar apa juga ulasan peminat. Apabila Ajai memberitahu susunan muzik kali ini berbeza, pembahagian nyanyian juga dibuat secara adil.

“Paling penting, kami tidak ‘overshadow’ antara satu sama lain dan masing-masing membawakan bahagian mengikut kredibiliti sendiri,” katanya.

Bagi Aisha Retno, penglibatan dalam projek ini pula membawa makna yang sedikit berbeza. Selain menjadi sebahagian daripada rakaman baharu, peluang tersebut turut membuka ruang buatnya memperkenalkan karya berkenaan kepada pendengar yang mungkin tidak pernah membesar bersama versi asal.

“Ini merupakan peluang besar buat saya dan semestinya saya meraikannya dengan memberikan yang terbaik. Secara tidak langsung, saya juga dapat memperkenalkan lagu legenda ini kepada generasi sekarang,” katanya.

Kekuatan muzik CDAG 2.0 turut diperbesarkan menerusi penglibatan 53 pemuzik Budapest Scoring Orchestra, dengan susunan muzik dikendalikan Ajai bersama Mac Chew. Rakaman turut menampilkan Ujang untuk dram, Gideon Yogan (gitar bes), Shah Slam (gitar) dan Mac Chew (piano).

Skala besar produksi itu turut menyaksikan pembikinan muzik video (MV) yang mendapat sentuhan daripada Lily Samsuddin dan Ghazi Mazlan sebagai pengarah.

Baru sahaja dilancarkan hari ini, MV terbabit  menampilkan Istana Budaya sebagai rakan strategik lokasi, melengkapkan lagi sisi visual untuk kemunculan CDAG 2.0 dalam versi baharu.

Di sebalik susunan muziknya yang besar, karya ini turut melalui proses produksi yang cukup teliti di bawah kendalian Ajai. Ia dirakamkan di Wake The Baby Studio sebelum proses adunan dikendalikan Greg Henderson dan mastering oleh Don Bartley di Benchmark Studio, Australia.

Terdahulu, lagu serta video liriknya telah dilancarkan pada 28 Ogos lalu, manakala MV rasmi yang dilancarkan hari ini menjadi pelengkap kepada kemunculan semula karya berkenaan dan boleh ditonton di saluran YouTube Usanita.

Kini, CDAG 2.0 hadir sebagai satu lagi bab dalam perjalanan lagu yang sudah melalui beberapa generasi. Selebihnya, terpulang kepada pendengar untuk menentukan bagaimana versi baharu ini akan menemukan tempatnya dalam memori mereka.  - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments