BAGI usahawan dan pemain industri halal, memiliki produk berkualiti sahaja belum tentu cukup untuk memastikan jenama terus dekat dengan pengguna. Keterlihatan, komunikasi dan pemilihan platform yang tepat turut memainkan peranan dalam membina kepercayaan terhadap sesuatu produk.Melihat keperluan itu, TV AlHijrah memperkenalkan kempen khas ‘Go Halal’ sempena penyertaannya di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 26 September di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Kempen tersebut memberi peluang kepada usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemain industri halal mendapatkan pendekatan media yang lebih strategik bagi meningkatkan keterlihatan jenama dan mendekati pengguna.
Sepanjang empat hari acara, TV AlHijrah menawarkan promosi media khas dan terhad meliputi pengiklanan televisyen, promosi digital, penghasilan kandungan, integrasi program, kandungan berjenama serta aktiviti penglibatan pengguna yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan objektif setiap jenama.
Ketua Unit Penjualan Media TV AlHijrah, Hafriz Zulpakar, berkata kempen itu diwujudkan bagi membantu usahawan yang mempunyai produk berpotensi tetapi masih berdepan cabaran untuk membina keterlihatan dan keyakinan pengguna.
“Produk yang baik perlu disokong oleh strategi komunikasi yang tepat supaya ia bukan sahaja berada di pasaran, tetapi benar-benar dikenali dan dipercayai pengguna. Di sinilah media memainkan peranan yang sangat penting,” katanya.
Memanfaatkan Ekosistem Media
Kempen ‘Go Halal’ turut memanfaatkan ekosistem TV AlHijrah yang merangkumi televisyen dan platform digital. Setakat suku kedua 2026, TV AlHijrah mencatatkan 7.7 juta tontonan televisyen, selain mempunyai capaian menerusi platform seperti TikTok Berita AlHijrah dan AlHijrah Plus.
Daripada keseluruhan penonton televisyen, majoritinya terdiri daripada wanita manakala sebahagian lagi merupakan golongan profesional, sekali gus memberikan gambaran tentang kelompok penonton yang boleh dicapai oleh jenama menerusi platform tersebut.
Pada masa sama, penyertaan TV AlHijrah di MIHAS 2026 hadir ketika industri halal terus berkembang dengan sasaran jualan pameran dinaikkan daripada RM4.5 bilion kepada RM5 bilion. Lebih 500 permohonan pembeli dan pengimport antarabangsa turut diterima, berbanding sasaran awal 300.
Perkembangan itu memberi ruang kepada jenama halal Malaysia untuk memperkukuh pasaran domestik selain meneroka rangkaian perniagaan dan peluang di peringkat antarabangsa.
Selari dengan tema ‘Peluang Tempatan, Kepercayaan Global’, TV AlHijrah melihat media sebagai salah satu medium yang boleh membantu jenama membina kehadiran dan keyakinan pengguna, bukan sekadar memperkenalkan produk.
Sepanjang MIHAS 2026, Hab Media TV AlHijrah turut menjadi antara ruang yang dikunjungi usahawan dan wakil syarikat untuk mendapatkan maklumat berkaitan pendekatan media serta peranannya dalam membantu memperkenalkan sesuatu jenama kepada sasaran pengguna.
Pengunjung turut berpeluang mengikuti pengisian khas berkaitan kandungan halal patuh syariah, gaya hidup halal, wanita dan kerjaya, promosi MINA 2026, Rare AlHijrah, AlHijrah Plus serta program Ruqyah yang menampilkan personaliti dan pendakwah TV AlHijrah.
Kempen ‘Go Halal’ diperkenalkan sepanjang MIHAS 2026 yang berlangsung sehingga 26 September ini di MITEC, Kuala Lumpur, dengan Hab Media TV AlHijrah menjadi lokasi penerangan mengenai kempen berkenaan kepada pengunjung pameran.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments