'Pegang Tangan' Satukan Altimet dan Adam Nuqris Dalam Kolaborasi Sarat Emosi


SETELAH sekian lama memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi kawasan Lembah Jaya, Altimet kembali menyapa peminat menerusi Pegang Tangan, sebuah karya yang mempertemukannya dengan penyanyi muda, Adam Nuqris.

Tanpa gimik atau perancangan besar, karya ini hadir secara semula jadi menerusi lagu yang telah lama tersimpan sebelum akhirnya menemui waktu sesuai untuk diperdengarkan kepada umum.

Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan oleh SVLTAN Management, Pegang Tangan berasal daripada arkib penulisan peribadi Altimet sebelum diberi nafas baharu menerusi sentuhan vokal Adam Nuqris.

Gabungan pengalaman seorang figura hip hop berpengaruh dengan perspektif segar penyanyi baharu itu melahirkan sebuah karya yang ringkas, namun sarat dengan emosi dan kejujuran.

Kemunculan semula Altimet dalam dunia muzik mula menjadi bualan apabila lagu tersebut secara tidak sengaja didedahkan oleh Adam Nuqris ketika sesi temu bual bersama sebuah stesen radio tempatan pada 8 Mei lalu, lebih awal daripada pengumuman rasminya.

Bagi Altimet, Pegang Tangan bukan sekadar menandakan kepulangannya ke dunia muzik, tetapi sebuah karya yang hadir pada waktu yang tepat dalam kehidupannya.

“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar. Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” katanya.

Karya Yang Sarat Makna

Ditulis oleh Altimet dan digubah oleh Mas Dewangga, Pegang Tangan menggabungkan elemen hip hop yang lembut dengan susunan muzik minimalis, sekali gus memberi ruang kepada kekuatan lirik dan penyampaian vokal menjadi fokus utama.

Kolaborasi ini turut mempertemukan dua generasi berbeza dalam industri muzik tempatan. Altimet yang dikenali sebagai antara figura penting hip hop Malaysia bergandingan dengan Adam Nuqris, penyanyi yang sedang membina nama menerusi karya berteraskan emosi dan pengalaman hidup selepas memperkenalkan single solo Alasan.


Mengangkat inspirasi daripada hubungan antara ibu dan anak, lagu ini membawa pendengar menelusuri perjalanan kehidupan daripada zaman kanak-kanak yang bergantung kepada kasih sayang dan bimbingan, sehinggalah ke fasa dewasa apabila peranan tersebut berubah ketika berdepan cabaran hidup serta kesihatan.

Pendekatan yang sederhana tanpa elemen dramatik berlebihan menjadikan mesej lagu lebih dekat dengan pengalaman ramai pendengar.

Adam Nuqris menyifatkan peluang bekerjasama dengan Altimet sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan awal kerjayanya.

“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana. Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istimewa ini,” katanya.

Walaupun Altimet sebelum ini pernah mengumumkan pengundurannya daripada dunia seni, Pegang Tangan membuktikan bahawa muzik masih mempunyai tempat dalam kehidupannya.

Namun, kemunculan ini bukanlah sebuah 'comeback' dalam erti kata biasa, sebaliknya lahir daripada keinginan menghasilkan karya yang dekat dengan pengalaman dan emosinya sendiri.

Sebagai pelengkap kepada perjalanan lagu tersebut, visualiser rasmi Pegang Tangan dilancarkan pada 14 Julai 2026 menerusi saluran YouTube rasmi Altimet, sekali gus memperkukuhkan lagi naratif yang dibawa. Lagu yang dilancarkan pada 8 Mei lalu itu kini boleh distrim di semua platform digital utama serta YouTube. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments