Astro X3 Tampil Dengan Pengalaman Penstriman Lebih Mudah, Deretan Kandungan Baharu Menanti

Astro X3, penawaran penstriman baharu yang tidak memerlukan dekoder atau pemasangan

CARA menikmati hiburan kini semakin berubah. Semakin ramai penonton memilih pengalaman yang lebih ringkas dan fleksibel, tanpa perlu bergantung kepada pemasangan peranti atau komitmen jangka panjang.

Seiring perubahan itu, Astro tampil dengan Astro X3, penawaran baharu yang memberi akses kepada kandungannya menerusi penstriman, sekali gus memperluaskan pilihan buat mereka yang mahukan pengalaman menonton yang lebih mudah.

Astro X3 tidak memerlukan dekoder atau pemasangan, malah proses pendaftarannya boleh dilakukan terus melalui telefon pintar sebelum pengguna mula menonton dalam hanya beberapa minit.

Penawaran ini turut menyokong tontonan menerusi TV pintar yang serasi serta aplikasi Astro GO, membolehkan kandungan dinikmati merentas pelbagai peranti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, perubahan ini mencerminkan usaha syarikat untuk menyesuaikan pengalaman menonton dengan tabiat pengguna hari ini yang semakin cenderung kepada penstriman.

Menurutnya, Astro mahu terus menghubungkan rakyat Malaysia dengan kandungan yang dekat di hati mereka, sama ada kisah tempatan, hiburan antarabangsa mahupun siaran langsung sukan bertaraf dunia.

Astro X3 juga menawarkan lebih banyak fleksibiliti kepada pelanggan, termasuk pilihan tanpa kontrak yang dijadualkan diperkenalkan bermula Disember 2026.

Di samping kemudahan penstriman, pelanggan turut boleh menikmati akses kepada pelbagai kandungan Astro Originals, siaran langsung sukan utama seperti Liga Perdana, Liga Juara-Juara AFC dan UEFA, Formula 1, MotoGP, Wimbledon serta kejohanan badminton antarabangsa, selain pilihan hiburan global yang sentiasa dikemas kini.

Barisan Kandungan Baharu

Pelancaran Astro X3 turut disertai dengan pengumuman pelbagai kandungan baharu yang bakal mengisi platform Astro dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Daripada filem dan drama tempatan hinggalah program hiburan secara langsung, barisan kandungan ini terus memperkukuh komitmen Astro dalam menawarkan pilihan yang pelbagai kepada penonton.


Antara filem yang bakal menemui penonton ialah Terbang, Kudrat 1968 dan HAK: Tuntut atau Tunduk. Sementara itu, pilihan drama pula merangkumi Bulan Henti Bicara, Sumpahan Mencintai, Love of My Life, Jutawan Ekspres 2, Premier League: I Love You, WOLONG: The Mastermind, Maara serta Marmadesam.

Bagi peminat program hiburan secara langsung, Astro turut membawakan semula beberapa rancangan popular menerusi barisan Signature Live seperti Big Stage Rocketfuel, Astro Star Quest 2026 – The Next Wave, Astro Classic Golden Melody Singing Competition 2026 dan Kilauan Emas Selebriti.

Selain kandungan berdurasi penuh, Astro juga memperluaskan penawaran penceritaan dalam format mikrodrama yang semakin mendapat perhatian penonton digital. Langkah ini memperlihatkan usaha syarikat untuk memenuhi citarasa penonton daripada pelbagai generasi dan gaya tontonan.

Astro X3 dijangka mula ditawarkan kepada pelanggan bermula 20 Julai 2026, manakala pilihan pelan tanpa kontrak akan diperkenalkan pada Disember tahun yang sama.

Melalui pengalaman penstriman yang lebih mudah serta barisan kandungan yang terus berkembang, Astro memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat Malaysia untuk menikmati hiburan mengikut keselesaan dan cara mereka sendiri. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

0 Comments