THE KERIS Hidupkan Semula Legenda Hang Tuah Dengan Sentuhan Moden


DI sebalik lambakan filem aksi moden di layar perak, The Keris hadir dengan pendekatan berbeza apabila menggabungkan elemen sejarah, warisan Melayu dan aksi kontemporari dalam sebuah naskhah yang sarat dengan semangat kepahlawanan.

Lebih daripada sekadar sebuah filem aksi, naskhah terbitan Mathe’s Production House Sdn. Bhd. ini mengangkat semula legenda Hang Tuah serta nilai keberanian, kesetiaan dan jati diri yang semakin dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Melalui gabungan dua latar masa berbeza, filem ini membawa penonton menyelami sebuah kisah yang menghubungkan sejarah dengan dunia moden.

Menurut penerbitnya, Dr. Matheyalagan, idea menghasilkan filem berkenaan tercetus daripada kebimbangannya melihat semakin ramai anak muda yang kurang mengenali tokoh-tokoh penting dalam sejarah Melayu.

"Saya mendapati kisah sejarah seperti hikayat Hang Tuah yang cukup terkenal semakin dilupakan. Boleh dikatakan kebanyakan anak muda hari ini tidak lagi mengenali Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya.

"Maka, ia telah mencetuskan idea dalam diri saya untuk menghasilkan The Keris bagi membangkitkan semula sejarah lama serta seni persilatan yang wajar diwarisi oleh generasi akan datang," katanya.

Menariknya, filem ini bukan sekadar mengimbau kisah silam, sebaliknya menghubungkan legenda tersebut dengan dunia masa kini menerusi kisah seorang anggota mafia luar negara yang memburu Keris Tempa Melaka, senjata milik Hang Tuah yang dipercayai memiliki keistimewaan tersendiri dan disimpan oleh seorang individu.

Bagi Dr. Matheyalagan, karya arahan Viknes Perrabu itu menawarkan kelainan menerusi gabungan era moden dan zaman Hang Tuah, selain menampilkan aksi persilatan, seni bela diri moden serta pelbagai adegan lagak ngeri yang menjadi antara tarikan utama filem berkenaan.

Walaupun berbangsa India, dia menganggap usaha menghasilkan karya yang mengangkat budaya Melayu sebagai satu penghormatan kepada warisan negara, sesuatu yang lahir daripada pengalaman hidupnya sendiri.

"Saya sememangnya membesar bersama rakan-rakan Melayu. Malah, saya selalu makan, minum dan tinggal bersama mereka di kampung.

"Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa bangga dapat menghasilkan sebuah karya yang mengangkat budaya serta semangat pahlawan Melayu yang bersejarah," ujarnya yang mengakui menggunakan duit sendiri tanpa mendapat sebarang dana luar atau FINAS.

Gabungan Warisan, Kajian & Aksi Moden

Sementara itu, pengarah Viknes Perrabu mengakui keputusan menerima naskhah tersebut didorong oleh jalan cerita yang dianggap mempunyai potensi besar untuk memperkenalkan semula sejarah dan budaya Melayu kepada penonton menerusi pendekatan yang lebih segar.

"Apabila saya melihat skrip dan jalan cerita filem ini, saya merasakan ia mempunyai potensi yang besar. Kami melakukan banyak kajian mengenai senjata keris, sejarahnya serta adat dan budaya Melayu yang merangkumi pelbagai istilah dan nilai tradisi.

"Filem ini menampilkan gabungan kisah legenda Melayu, khususnya pertarungan antara Hang Tuah dan Hang Jebat, yang diolah dalam latar kehidupan moden bagi memberikan nafas baharu kepada cerita berunsurkan warisan Melayu," jelasnya.



Bagi memastikan setiap elemen dipersembahkan dengan tepat, pasukan produksi menjalankan penyelidikan menyeluruh sebelum skrip dimuktamadkan, termasuk mendapatkan sentuhan Datuk Zulkiflie M. Osman dalam pembangunan naskhah.

Meskipun sudah 15 tahun menghasilkan filem Tamil, Viknes mengakui mengarahkan filem Melayu buat kali pertama memberi cabaran tersendiri, terutama dari aspek komunikasi ketika bekerja bersama pasukan produksi dan pelakon.

"Selama ini saya biasa bekerja dalam persekitaran filem Tamil dan memberi penerangan dalam bahasa Tamil. Untuk The Keris, komunikasi dalam bahasa Melayu sedikit mencabar terutama ketika memberi arahan atau penjelasan kepada pasukan produksi dan pelakon," katanya.

Bagaimanapun, cabaran itu berjaya diatasi dengan bantuan pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Raja Azrey yang banyak membantu melancarkan proses penggambaran.

Filem ini menampilkan barisan pelakon terdiri daripada Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Raja Azrey dan Datuk Jalaluddin Hassan. Lebih menarik, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut membuat penampilan khas sebagai cameo.

Mengangkat kisah seorang mafia dari Rusia yang merancang mendapatkan Keris Tempa Melaka melalui sebuah kejohanan seni mempertahankan diri di Malaysia, The Keris menggabungkan aksi, misteri dan sejarah dalam sebuah penceritaan yang membawa penonton menelusuri perjuangan mempertahankan warisan bangsa.

Dengan gabungan aksi mendebarkan, elemen sejarah dan semangat kepahlawanan Melayu, The Keris bukan sekadar menjanjikan hiburan di layar perak, malah mengajak penonton menghargai semula warisan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara. Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 Julai. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments