DI sebalik dinding Awe Gallery, sebuah perjalanan visual yang sarat emosi kini terbuka untuk diterokai. Where We Belong, pameran solo kedua artis cat air tempatan Lee Wee Xian, mengajak pengunjung menyelami dunia yang dibina daripada memori, ruang dan rasa kepunyaan yang sering kita cari dalam hidup.
Melalui setiap sapuan cat air, Wee Xian tidak sekadar melukis pemandangan, tetapi merakamkan rasa tentang tempat yang pernah kita panggil 'rumah', tentang detik yang tertinggal di belakang, dan tentang persoalan yang sentiasa berulang, di mana sebenarnya kita 'belong'.
Pada usia 36 tahun, Wee Xian bukan sahaja dikenali sebagai seorang artis cat air, tetapi juga seorang dekan di sebuah kolej. Dua peranan ini berjalan seiring dalam hidupnya, antara dunia akademik yang menuntut disiplin, dan dunia seni yang menjadi ruang pelepasan emosi serta refleksi diri.
Minatnya terhadap seni lukisan cat air bermula sebagai satu bentuk keseimbangan dalam tekanan rutin harian, namun lama-kelamaan ia berkembang menjadi satu perjalanan hidup yang lebih mendalam dan berterusan.
Bagi Wee Xian, seni bukan sekadar hobi atau ruang rehat, tetapi satu cara untuk memahami diri dan dunia sekeliling. Melalui karya terbaharu ini, anak kelahiran Melaka ini mengajak penonton menyelami perjalanan visual yang sarat dengan nostalgia. Daripada lorong-lorong lama, bangunan bersejarah, hinggalah ke detik-detik kecil yang sering terlepas pandang dalam kehidupan seharian.
Di tengah-tengah pameran ini, pengunjung akan dibawa melihat dunia yang terasa dekat tetapi sering diabaikan.
Jejak Memori dalam Ruang Seharian
Bangunan kedai berusia ratusan tahun yang menyimpan kisah generasi demi generasi, papan tanda tulisan tangan yang pudar dimamah masa, serta sebuah motosikal kapcai yang berehat di sudut bangunan warisan, semuanya menjadi antara subjek utama yang membentuk naratif visual Wee Xian.
Elemen-elemen ini bukan sekadar objek dalam lukisan, tetapi simbol kepada memori kolektif tentang 'rumah' dan identiti.
Sejak pameran sulungnya
Overture dua tahun lalu, Wee Xian terus mengembangkan eksplorasi seninya terhadap hubungan antara memori dan tempat.
Dalam
Where We Belong, Wee Xian mempersembahkan 30 karya cat air yang menghidupkan semula detik-detik yang membentuk rasa kepunyaan dalam diri manusia, sama ada yang nyata mahupun yang hanya tinggal dalam ingatan.
Pameran ini menampilkan karya-karya yang merentasi ruang peribadi dan kolektif tentang apa yang kita panggil 'rumah'.
Dalam perjalanan kreatif ini, Wee Xian turut berkolaborasi bersama abang kandungnya, Lee Wee Khuan, seorang pakar bedah yang juga meminati seni fotografi.
Awal tahun lalu, kedua-dua beradik ini pulang ke Melaka dan merakam momen secara spontan menggunakan filem fotografi, menjejak semula lokasi-lokasi yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Tanpa perancangan khusus, perjalanan itu menjadi satu eksplorasi visual yang jujur tentang kenangan dan akar asal. Gambar-gambar tersebut kemudian menjadi asas kepada transformasi 30 lukisan cat air yang dipamerkan dalam
Where We Belong. Beberapa hasil fotografi asal turut dipamerkan sebagai sebahagian daripada dialog antara dua medium seni ini.
Melalui karya-karya ini, pengunjung diajak untuk menyelami semula persoalan yang sering kita abaikan, di manakah sebenarnya tempat kita kembali, dan bagaimana memori membentuk siapa kita hari ini.
Pameran
Where We Belong oleh Lee Wee Xian ini bakal berlangsung dari 8 hingga 22 Julai 2026, dari jam 11 pagi hingga 8 malam di Awe Gallery, Petaling Jaya, Selangor.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments