Bagaimana jika permintaan cerai yang dibuat hari ini bertukar menjadi kes jenayah pada keesokan harinya? Itulah premis mendebarkan yang dibawakan menerusi The Husband, drama jenayah thriller Korea terbaharu yang bakal menemui penonton di Disney+ bermula 4 Julai.

Drama ini mengisahkan tentang kehidupan Taeju, lakonan Namkoong Min dan Seyun (Lee Sul) dilihat menjalani kehidupan rumah tangga yang sempurna. Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila hubungan mereka mula dipenuhi pertengkaran dan konflik yang berpanjangan.

Selepas empat tahun melalui perkahwinan yang penuh tekanan, Taeju, seorang pakar bedah saraf yang berjaya, akhirnya mengambil keputusan untuk mengkhiri perkahwinan mereka. Namun, keputusan itu membawa kepada satu insiden yang jauh lebih mengerikan.

Sehari selepas Taeju mengemukakan permintaan cerai, Seyun yang merupakan  pengerusi hospital yang berdisiplin dan berkarisma itu dilaporkan hilang dalam keadaan penuh misteri. Kehilangan tersebut segera mencetuskan siasatan polis, manakala Taeju pula menjadi suspek utama dalam kes itu.

Dalam usaha membersihkan namanya, dia bukan sahaja perlu mengelak daripada diburu pihak berkuasa, malah berusaha mencari isterinya yang dipercayai berada dalam bahaya.


The Husband diarahkan oleh Kim Junghyun dan naskhah yang ditulis oleh Jung Jaeha, menjanjikan sebuah kisah jenayah yang sarat dengan misteri, ketegangan dan plot yang sukar dijangka.

Drama ini turut memperkukuhkan senarai drama Korea berprofil tinggi yang ditawarkan di Disney+, dan bakal mula distrim bermula 4 Julai. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: