| Ammar mahu dikenali sebagai penyanyi pop |
MELANGKAH ke dunia seni sebagai anak kepada penyanyi popular sememangnya membuka ruang untuk dikenali dengan lebih cepat. Namun bagi pendatang baharu, Ammar Haikal, laluan itu bukan sesuatu yang mahu dijadikan sandaran sepanjang kerjayanya.
Menerusi single debut berjudul Gila Bayang, bintang muda berusia 19 tahun itu memasang impian untuk membuktikan dirinya mampu berdiri atas bakat sendiri.
Ketika ditemui pada pelancaran muzik video single tersebut di XO House pada Jumaat, Ammar berkata, proses pemilihan lagu tersebut bukan dibuat secara tergesa-gesa. Sebaliknya dia terlebih dahulu mendengar beberapa demo bersama komposer dan pihak label sebelum akhirnya memilih Gila Bayang yang dirasakan benar-benar 'melekat' di hatinya.
Sebagai pendatang baharu, Ammar tidak meletakkan harapan atau jangkaan terlalu tinggi kepada single debut ini, sebaliknya lebih kepada mahu memperkenalkan diri dan genre muziknya kepada peminat.
Namun siapa sangka, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Naim Daniel, Adib Hamdi dan Amir Firdaus itu mula mencuri perhatian lebih awal di media sosial dan menerima sambutan di luar jangkaan sehingga lebih 60,000 video di TikTok dihasilkan menggunakan lagu tersebut sebelum ia dilancarkan secara rasmi.
“Alhamdulillah saya tak sangka sambutan terhadap lagu ini sangat baik. Pada awalnya, saya fikir sambutan lagu pertama ini biasa saja, mungkin single kedua atau akan datang nanti baru akan lebih diterima.
"Namun saya terkejut bila kali pertama saya perkenalkan lagu ni dalam konten saya di TikTok, sambutannya di luar jangkaan. Saya sangat bersyukur dengan sokongan yang diberikan ini,” ujarnya.
Tambah Ammar yang juga Juara XO CAMP! Musim Pertama, antara individu terawal yang mendengar demo Gila Bayang ialah bapanya sendiri, Ameng Spring yang ketika itu sudah memberi reaksi positif terhadap lagu tersebut.
“Bila papa dengar demo tu, dia terus cakap Gila Bayang sedap dan suruh saya terus rekod. Dia memang teruja dengan lagu ni. Malah dia juga membuat penampilan istimewa dalam muzik video lagu ini," katanya.
Turut sama menjayakan muzik video tersebut ialah penyanyi dan personaliti media sosial Alyssa Dezek, yang bergandingan bersama Ammar sebagai watak utama, menjadikan visualnya lebih segar dan mempunyai daya tarikan tersendiri.
Mahu Dikenali Sebagai Artis Pop
Bagi Ammar, Gila Bayang juga menjadi langkah pertama untuk memperkenalkan identiti muzik yang ingin dibawa sepanjang perjalanan seninya. Walaupun terbuka untuk bereksperimen dengan pelbagai genre pada masa akan datang, buat masa ini dia mahu dikenali terlebih dahulu sebagai penyanyi pop.
“Keutamaanya saya memang genre pop. Pada permulaan ini, saya nak orang kenal saya sebagai artis pop dulu. Namun saya tidak menolak untuk mencabar diri saya dengan genre-genre pada masa akan datang," ujarnya yang kini bernaung di Bawah label XO House.
Di sebalik kesibukan mempromosikan single debutnya, Ammar sebenarnya masih bergelar pelajar semester akhir program asasi di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah tidak lama lagi.
Keputusan untuk terus belajar sehingga memperoleh ijazah merupakan syarat yang ditetapkan ibu bapanya sebelum dia memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya seni.
"Mak ayah saya memang pesan, kalau betul-betul nak jadi penyanyi, kena habiskan ijazah dulu. Lepas tu barulah fokus sepenuhnya pada bidang seni," akuinya.
“Cabaran paling besar buat saya adalah pengurusan masa. Jadi kena bijak susun jadual belajar dan kerjaya seni dengan baik. Habis kelas, baru pergi studio untuk rekod lagu dan sebagainya.
“Bapa saya bagi kebebasan untuk urus masa sendiri, cuma dia selalu ingatkan saya agar tidak tinggal kelas," katanya.
Menyentuh gelaran 'nepo baby' yang dikaitkan dengannya, finalis program Talk To My Manager musim pertama itu melihatnya dari sudut positif.
Baginya, status sebagai anak kepada penyanyi terkenal sememangnya membuka peluang untuk orang mengenalinya dengan lebih cepat, namun kejayaan sebenar tetap bergantung kepada usaha sendiri.
“Dalam kes saya, gelaran itu lebih kepada membuka peluang. Kalau boleh saya nak orang kenal saya sebagai Ammar Haikal, bukan anak Ameng Spring.
"Memang ayah saya penyanyi terkenal, tapi saya nak bina nama saya sendiri. Nama ayah cuma membantu orang kenal saya dengan lebih mudah," tegasnya.
Single Gila Bayang kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala MV di saluran YouTube Ammar Haikal dan XO House.
“Saya sangat teruja dengan pelancaran single pertama dan berharap para peminat dan pendengar dapat menerima Gila Bayang dengan baik.
"Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan, dan saya harap semua dapat terus mendengar serta menstrim lagu ini,” akhirinya. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Harith Zazman & Yonnyboii Kongsi Kisah Paling Peribadi Menerusi ‘Sempurna’
- ‘Sesi Potret’ Eńau & Ari Lesmana Raih Perhatian Di Carta Spotify Indonesia, Malaysia
- Maximillian Lancar Album ‘I’m Fine’, Luah Perjalanan Emosi Paling Peribadi
0 Comments