PENDAKWAH selebriti, Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, diperintahkan ke penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun, termasuk tiga sebatan, berhubung kes merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.Keputusan itu dibuat oleh Hakim Adlin Abdul Majid selepas menolak rayuan Syed Shah Iqmal untuk mengetepikan sabitan dan menangguhkan hukuman, pada Jumaat.
"Mahkamah menolak rayuan tertuduh dan rayuan pihak pendakwaan (bagi pemberatan hukuman). Keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati perayu bersalah dan disabitkan di bawah seksyen 376(1) Kanun Keseksaan adalah selamat dan dikekalkan.
"Hukuman penjara 10 tahun dan tiga kali sebatan rotan dikekalkan. Hukuman penjara bermula dari tarikh hari ini. Selepas mendengar hujahan, mahkamah tidak membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, kerana tiada keadaan khas yang menjustifikasikan penggantungan.
"Mahkamah mendapati kesalahan di bawah seksyen 376(1) adalah serius. Oleh kerana mahkamah ini mendapati sabitan dan hukuman adalah selamat, mahkamah seterusnya mengarahkan hukuman bermula dari hari ini, tanpa penggantungan," ujarnya sebagaimana dilaporkan media.
Terdahulu pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 Shah Alam, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019. Dia didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie. Namun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri.
Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan, di mana perintah penjara dilaksanakan pada hari sama. Bagaimanapun, selepas 21 hari di Penjara Kajang, dia dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi sehingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.
Hari ini, dengan rayuan utama ditolak, Syed Shah Iqmal diarahkan memulakan hukuman penjara secara serta-merta.
- 7KLIK[Kredit Berita: Sinar Harian, Awani, Berita Harian]ARTIKEL LAIN:
0 Comments