Jualan Agro MADANI Terengganu 2026 Perluas Akses Makanan Pada Harga Berpatutan



Oleh: SORAYA AFNAN
PROGRAM Jualan Agro MADANI terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara inisiatif strategik berimpak tinggi dalam landskap agromakanan negara.

Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 4,331 program telah berjaya dilaksanakan daripada sasaran 5,000 program di seluruh Malaysia, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna.

Inisiatif anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ini dirangka bagi memastikan bekalan makanan segar yang stabil dan mampu milik, di samping membantu meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.

Dalam tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2025, program ini merekodkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM69.63 juta, dengan penjimatan pengguna dianggarkan mencecah RM17.20 juta hasil penawaran harga yang lebih rendah berbanding pasaran.

Pencapaian ini mencerminkan keupayaan program tersebut dalam mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta menyumbang kepada kestabilan harga barangan keperluan harian.

Dari sudut pembangunan ekonomi agro, Jualan Agro MADANI memberi manfaat langsung kepada lebih 49,000 usahawan tempatan merangkumi petani, penternak dan pengusaha industri makanan asas tani.

Sambutan masyarakat turut memberangsangkan dengan kehadiran lebih 4.17 juta pengunjung, manakala manfaat keseluruhan program dianggarkan melibatkan 16.33 juta isi rumah di seluruh negara.

Terengganu Jadi Pentas Jualan Agro MADANI 2026

Sebagai kesinambungan kepada kejayaan tersebut, Jualan Agro MADANI Edisi Terengganu 2026 telah berlangsung pada 22 Januari lalu di Pekarangan Ibu Pejabat FAMA, Selayang, dari jam 7.30 pagi hingga 3 petang.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi FAMA, Haji Aminuddin Zulkipli, dan berjaya menarik kehadiran kira-kira 2,000 orang pengunjung.


Pelbagai komoditi agromakanan ditawarkan sepanjang acara, merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging, produk industri makanan asas tani serta makanan popular Negeri Terengganu, dengan tawaran harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Antara pengisian utama termasuk jualan Kombo MADANI, jualan istimewa produk segar terpilih, demonstrasi masakan tradisional Terengganu, penyertaan usahawan tempatan serta produk kraf.

Pengunjung turut berpeluang mendapatkan hasil agromakanan ikonik Edisi Terengganu seperti Melon Manis Terengganu, Duku Terengganu serta makanan tradisional termasuk keropok keping ikan tamban, sata dan ketupat palas.

Pelaksanaan Jualan Agro MADANI Edisi Terengganu 2026 berjaya meningkatkan akses rakyat kepada bekalan makanan pada harga berpatutan.

Selain itu, ia turut membuka ruang pasaran tambahan untuk usahawan tempatan, mengurangkan peranan orang tengah dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI ke arah keterjaminan makanan yang lebih inklusif dan mampan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments