Oleh: AILEEN ADAMDUNIA fesyen kini menyaksikan satu peralihan besar apabila ikon hip‑hop dan fesyen, A$AP Rocky, secara rasmi diumum sebagai duta baharu bagi rumah haute‑couture Chanel.
Pelantikan ini bukan sekadar gelaran, tetapi menandakan penyatuan budaya moden, muzik, dan kemewahan fesyen dalam naratif baharu jenama ikonik itu.
Menurut Pengarah Artistik Chanel, Matthieu Blazy, Rocky dipilih kerana bakat, rasa ingin tahu, serta kreativiti tanpa batas iaitu kualiti yang selaras dengan visi Chanel hari ini. Blazy menggambarkannya sebagai 'pemuzik, pelakon, bapa, sahabat… seorang insan lengkap, yang membawa jiwa, semangat, dan keaslian dalam setiap karya.
Rocky, 37, turut meluahkan rasa kagum terhadap estetika dan visi Blazy, menyifatkan rekaan pengarah itu sebagai kuat tetapi sensitif, berpaksikan realiti tetapi tetap mampu mencetuskan rasa kagum.
Sebagai kemuncak pengumuman ini, Chanel melancarkan sebuah filem pendek eksklusif arahan Michel Gondry, menampilkan Rocky bersama pelakon Margaret Qualley. Karya visual tersebut ditayangkan kepada umum pada 2 Disember lalu sebagai sebahagian daripada koleksi Métiers d’Art 2026.
Dalam kempen itu, Rocky tampil dengan gabungan elemen streetwear dan aura klasik Chanel, menghasilkan visual yang meraikan pertembungan dua dunia iaitu warisan haute couture dan semangat urban masa kini.
Kempen ini dilihat sebagai pembuka era baharu Chanel, memanfaatkan karakter hip-hop dan budaya kontemporari untuk mengembangkan legasi jenama ke dimensi lebih segar dan moden.
Dari Hip-Hop ke High Fashion
Kerjasama antara A$AP Rocky dan Chanel bukan sekadar kolaborasi selebriti, tetapi mencerminkan evolusi cara rumah fesyen mewah bergerak seiring budaya pop, seni jalanan dan generasi muda.
Rocky sejak sekian lama diangkat sebagai ikon gaya dalam komuniti hip-hop; figura yang berani mencampurkan
street style, high fashion dan identiti peribadi secara berani tanpa kompromi.
Dengan pengaruh global dan reputasinya sebagai seorang tastemaker, pelantikan ini menandakan Chanel membuka pintu kepada audiens yang lebih muda, lebih luas dan lebih pelbagai.
Bagi Rocky sendiri, ini merupakan detik penting dalam kariernya, bukan hanya sebagai artis, tetapi sebagai pelopor gaya, pemecah batas antara budaya urban dan glamor mewah serta simbol bagaimana kreativiti mampu melintasi sempadan dari pentas muzik ke pentas fesyen global.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments