IMPIAN untuk menjejak lokasi ikonik filem dan animasi akhirnya menjadi kenyataan bagi dua hos popular, Jiggy Masin dan Royce Ikram, menerusi program terbaharu mereka, Lensa Jepun: Dari Skrin Ke Realiti. Program ini bakal menemui penonton mulai 9 Disember, setiap Selasa jam 12 tengahari di saluran Okey dan RTMKlik, membawa pengalaman eksklusif yang merentasi dunia filem dan animasi yang selama ini menghiburkan peminat di seluruh dunia.
Dalam siri travelog 13 episod ini, Jiggy dan Royce berkongsi pengembaraan mereka di lokasi penggambaran filem dan animasi popular, termasuk
Godzilla, Ultraman, Crayon Shin-chan, The Wolverine, Sailor Moon, Doraemon, Memoirs of a Geisha, G.I. Joe: Snake Eyes, Fate/Stay Night, dan
James Bond: You Only Live Twice.
Setiap episod menampilkan pengalaman unik yang membawa penonton lebih dekat dengan dunia yang sering hanya dilihat di skrin.
Episod pertama membawa Royce dan Jiggy ke Himeji Castle, Hyogo, istana bersejarah yang menjadi latar filem
James Bond: You Only Live Twice. Dari situ, mereka meneruskan perjalanan ke Awaji Island di Kobe, untuk mencabar adrenalin di Godzilla Interception Operation di Taman Tema Nijigen No Mori, berdepan dengan replika Godzilla bersaiz sebenar.
Pengembaraan di Kobe turut meliputi panorama menakjubkan bandar pelabuhan dari puncak Kobe Tower, memadukan kecantikan bandar moden dan sejarah yang kaya.
Tokyo menjadi destinasi seterusnya, di mana mereka menelusuri jejak Godzilla sambil menyingkap sisi bandar yang jarang dilihat pelancong biasa.
Mereka bermalam di kapsul hotel yang minimalis dan unik, serta menjejak figura Ultraman di Setagaya sebelum mengunjungi ‘Ultraman Street’, kawasan penuh nostalgia dengan memorabilia wira ikonik Jepun tersebut.
Seni digital futuristik menjadi tarikan di TeamLab Planets, menawarkan pengalaman imersif yang menggabungkan kreativiti moden dengan kepelbagaian dunia hero klasik. Daripada kisah animasi kanak-kanak hingga seni kontemporari, perjalanan mereka menyajikan dua dunia yang berbeza namun sama memukau.
Di Kasukabe, Saitama, Jiggy dan Royce menjejak rumah watak terkenal Toru Kazama dan Shin-chan daripada siri Crayon Shin-chan, membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak dengan gelak tawa lucu.
Tokyo terus menjadi latar bagi episod lain, termasuk kunjungan ke Zojoji Temple di Minato City, lokasi penggambaran The Wolverine, serta pengalaman memancing di Wakasu Camping Park dan menikmati hidangan laut segar di Tsukiji Market.
Di Azabujuban pula, mereka menjejak lokasi ikonik dalam siri Sailor Moon, menambahkan lagi kepelbagaian pengalaman budaya yang dikongsi.
Beberapa lokasi lain yang turut dikunjungi termasuk Fujiko F. Fujio Museum (
Doraemon), Kishiwada Castle di Osaka (
G.I. Joe: Snake Eyes), Osaka Castle yang ikonik, dan The Kaiyodo Figure Museum di Miraiza Osaka Castle, menyajikan koleksi figura anime dan budaya pop Jepun yang mengagumkan.
Selain itu, Jiggy dan Royce juga singgah di Masjid Kobe, masjid pertama di Jepun, menunaikan solat dan berpeluang menemuramah imam mengenai kehidupan komuniti Muslim di sana, menambah dimensi pengalaman yang lebih mendalam dan bermakna.
Lensa Jepun: Dari Skrin Ke Realiti bukan sekadar travelog; ia adalah perjalanan penuh pengalaman, nostalgia, dan keajaiban visual yang merentas dunia filem dan animasi, membolehkan penonton merasai sendiri detik-detik magis yang selama ini hanya dilihat di skrin.
- 7KLIKARTIKEL LAIN:
0 Comments