Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Damiano David Lancar Versi Extended Album Solo, ‘Funny Little Fears Dreams’


PENYANYI dan penulis lagu asal Itali, Damiano David, kini melancarkan Funny Little Fears Dreams, versi extended daripada album solo sulungnya.

Edisi khas ini hadir dengan lima lagu baharu sebagai hadiah istimewa buat para peminat menjelang konsert jelajah dunia berskala besar yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengumuman itu dilakukan Damiano di laman media sosial miliknya pada awal minggu ini.

“Saya tukarkan ketakutan saya menjadi mimpi. Ini hadiah saya buat anda semua yang akan menemani saya di jelajah nanti,” tulisnya penuh makna.

Versi baharu ini dibuka dengan single Talk to Me, menampilkan kolaborasi hebat bersama dua pemenang Grammy iaitu sensasi Afrika Selatan, Tyla, serta legenda, Nile Rodgers. Lagu ini menyatukan vokal unik Tyla, groove gitar yang tidak dapat disangkal oleh Rodgers, dan aura artistik Damiano sendiri.

Tyla turut berkongsi cerita bagaimana kolaborasi itu bermula dan kenapa dia begitu tertarik dengan karya tersebut.

“Damiano menghantar lagu ini kepada saya dan saya terus jatuh cinta dengan nuansa nostalgianya. Saya dapat membayangkan suara saya di dalamnya sejak awal. Ia terasa segar dan berbeza untuk saya, dan saya yakin para tygrs saya akan sangat menyukainya,” kata Tyla.

Nile Rodgers pula mengakui lagu Talk To Me memang menyeronokkan untuk dihasilkan.

“Bila saya terima lagu ini daripada Damiano dan Tyla, saya suka betul dengan vibra dia. Saya nak gitar saya jadi suara ketiga dan ia menyeronokkan,” akuinya.

Album ini turut menampilkan Cinnamon, kolaborasi bersama Albert Hammond Jr daripada The Strokes. Trek gitar-driven ini membawa riff signature Hammond Jr yang bercampur dengan intensiti melodi Damiano, sekali gus menghasilkan tenaga yang penuh semangat.

Dalam Naked pula, Damiano menampilkan balada minimalis yang intim, menyelami sisi rapuh dan kejujuran emosi. Sementara Mysterious Girl  hadir dengan aura dark-pop yang catchy, sinematik dan penuh hook, mempamerkan gaya penceritaan Damiano yang penuh intrik.

Lagu Over menutup koleksi baharu ini dengan trek soaring yang katartik, di mana luka patah hati diterjemahkan kepada harapan, sekali gus menyempurnakan perjalanan album ini daripada ketakutan kepada mimpi.

Dari Panggung Konsert ke Rekod Dunia

Selain pelancaran album, Damiano turut membuat kejutan dengan menyiarkan secara langsung lima lagu dari malam pembukaan jelajah dunianya di Warsaw melalui TikTok pada Khamis lalu. Livestream itu menampilkan dua lagu daripada edisi extended, iaitu Mysterious Girl dan Cinnamon, bersama beberapa kegemaran peminat seperti Born With A Broken Heart, The First Time dan Voices.

Peminat di seluruh dunia mendapat peluang eksklusif mendengar lagu baharu beberapa jam sebelum tarikh rilis rasmi.

Edisi ini hadir selepas kejayaan album Funny Little Fears yang menampilkan kolaborasi bersama Suki Waterhouse dan d4vd, dan kini semakin mengukuhkan reputasi Damiano sebagai artis yang berani menolak sempadan kreatif melalui kerjasama unik.

Kolaborasi menarik menerusi lagu Talk to Me bersama Tyla

Album debutnya sebelum ini juga sudah mencecah lebih 800 juta streams global serta menerima sijil emas di Perancis dan Itali.

Damiano turut menerima pencalonan MTV VMA 2025 bagi kategori Best Long Form Video untuk karyanya Funny Little Stories serta pencalonan MTV PUSH Performance of the Year untuk single Next Summer.

Menerusi Funny Little Fears Dreams, Damiano membuktikan dirinya sebagai salah satu suara paling berani dan dinamik dalam muzik kontemporari.

Peminat bakal mendengar semua lagu daripada album ini secara langsung dalam jelajah global 2025 yang meliputi Australia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia dan siri konsert yang sudah pun habis terjual di Eropah.

Secara keseluruhan, jelajah ini merangkumi lebih 30 tarikh di lima benua, dengan beberapa lokasi terpaksa dinaik taraf serta tambahan tarikh kerana permintaan tinggi menjadi bukti nyata pengaruhnya di pentas dunia.

Funny Little Fears Dreams menampilkan lagu Talk to Me feat. Tyla & Nile Rodgers, Cinnamon (feat. Albert Hammond Jr), Naked, Mysterious Girl, Over, Voices, Next Summer, Zombie Lady, The Bruise (feat. Suki Waterhouse), Sick Of Myself, Angel, Tango, Born With A Broken Heart, Tangerine (feat. d4vd), Mars, The First Time, Perfect Life, Silverlines dan Solitude (No One Understands Me).

Damiano sudah pun dikenali sebagai penyanyi-penulis lagu dengan perjalanan luar biasa, daripada jalanan kota Rom hingga ke pentas global sebagai kuasa besar muzik antarabangsa. Namanya mula meraih perhatian dunia sebagai vokalis utama Måneskin, band Itali pertama yang benar-benar menembusi skala global, dipuji kerana karisma dan vokalnya yang bertenaga.

Pada 2023, Damiano bersama Måneskin menerima pencalonan Grammy bagi kategori Best New Artist, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan paling menyerlah dalam dunia muzik kontemporari.

Kini, dengan album solo yang penuh keberanian, Damiano membuktikan dirinya bukan hanya vokalis utama sebuah band, tetapi juga artis dengan suara dan visi tersendiri. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments