PENANTIAN hampir sampai ke kemuncaknya apabila Netflix akhirnya melancarkan trailer akhir untuk Squid Game musim ketiga, naskhah penamat dalam siri fenomena global, yang bakal ditayangkan bermula 27 Jun ini.
Treler ini membawa penonton menyusuri kembali perjalanan penuh emosi sejak musim satu hingga kini, menampilkan detik-detik ikonik serta petunjuk awal yang mendebarkan tentang bab terakhir yang bakal menjelang.
Di tengah naratif, kita sekali lagi dibawa menyelami kisah Gi-hun (Pemain 456), daripada kehidupan lamanya sebelum terjebak dalam permainan maut, hingga ke perjuangannya kini untuk mempertahankan harapan dan kemanusiaan.
Melalui imbas kembali yang menyentuh perasaan, pemain Geum-ja (Pemain 149) melontarkan renungan tentang makna hidup dan keadilan, sambil wajah-wajah pemain yang telah gugur seperti Ali Abdul, Kang Sae-byeok, Oh Il-nam dan Cho Sang-woo kembali menghantui memori.
Ia menjadi peringatan bahawa setiap keputusan membawa harga yang mahal dan Gi-hun telah kehilangan lebih daripada yang dapat digambarkan.
Namun dalam segala keperitan itu, Geum-ja masih percaya Gi-gun akan menyelamatkan mereka semua. Ia menyuntik semangat dan harapan yang menjadi nadi musim ketiga.
Treler kemudian memperlihatkan babak-babak aksi berisiko tinggi, ketegangan emosi dan momen yang cukup mendebarkan termasuk kemungkinan konfrontasi antara Gi-hun dan Front Man, yang sebelum ini menyamar sebagai Pemain 001.
Kali ini, cabaran yang menanti lebih kejam dan mencabar jiwa. Front Man menyambut kedatangan VIP misteri, manakala adiknya, Jun-ho, meneruskan pencarian ke pulau rahsia tanpa menyedari pengkhianat yang bersembunyi dalam kalangan mereka.
Persoalannya, mampukah Gi-hun membuat pilihan yang tepat atau semangatnya akan hancur sepenuhnya di tangan Front Man?
Squid Game musim terakhir ini sekali lagi diarahkan oleh Hwang Dong-hyuk, pengarah yang mencipta sejarah di Anugerah Emmy® ke-74 apabila menjadi pengarah Asia pertama memenangi kategori Outstanding Directing for a Drama Series.
Dengan reputasi mantap dan visi artistik yang penuh intensiti, musim ketiga dijangka menyajikan kesudahan yang bukan sahaja mendebarkan, malah meninggalkan kesan mendalam buat penonton di seluruh dunia.
Bersiaplah untuk menyaksikan pengakhiran yang tidak akan dilupakan. Squid Game musim terakhir akan mula ditayangkan secara eksklusif di Netflix bermula Jumaat, 27 Jun 2025. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments