Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Showcase Seri Malaya pikat Gen-Z: Warisan muzik tradisional diangkat penuh emosi & warna


PERSEMBAHAN penuh warna, emosi dan nostalgia! Itulah yang ditawarkan menerusi Showcase Seri Malaya yang melabuhkan tirainya dengan meriah di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, baru-baru ini.

Acara anjuran Rojer Kajol Music ini tampil luar biasa dengan membawakan gabungan muzik tradisional pelbagai genre seperti Zapin, Joget, Inang, Asli dan Ghazal, lengkap dengan elemen lakonan dan tarian yang memikat hati penonton dari pelbagai peringkat usia, termasuk Gen-Z.

Antara lagu yang dipersembahkan ialah Kau Pergi Tanpa Pesan, Semenjak Kita Berpisah, Zapin Pantun, Zapin Malam Pengantin, Joget Wan Lebo, Tun Fatimah, Zapin Madah Pusaka dan lain-lain.

Diterajui penyanyi dan pemuzik terkenal, Rojer Kajol, showcase ini turut diserikan dengan kehadiran Asmidar, Kajol Zuraidah, serta pelakon cilik berbakat besar, Mikael Noah, yang mencuri perhatian menerusi lakonan menyentuh hati sepanjang persembahan.

Showcase istimewa yang diiringi Orkes Melayu Rojer menjadi lebih meriah dengan kehadiran barisan penari dan pelakon muda dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, yang membawa aura segar dan bertenaga ke pentas.



Apa yang menjadikan Showcase Seri Malaya berbeza adalah pendekatannya menyatukan muzik, lakonan dan tarian dalam satu naratif seni yang padu.

Lakonan Mikael Noah bukan sekadar pengisi pentas tetapi ia menjadi pengikat emosi yang membawa penonton menghayati setiap lagu dengan jiwa.

Mengenal akar budaya

Daripada alunan lembut lagu asli ke irama joget yang rancak, setiap persembahan disampaikan dengan rasa cinta terhadap warisan, sekali gus menyentuh hati penonton yang hadir, termasuk generasi muda yang mungkin baru pertama kali mengenalinya secara dekat.

Menerusi kerjasama Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, ARTease dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, persembahan ini menjadi satu bentuk pernyataan: warisan budaya Malaysia masih relevan dan mampu menambat hati generasi kini.


Walaupun sambutannya mungkin tidak sehangat konsert komersial lain, tetapi usaha ini membuktikan bahawa muzik tradisional tetap mempunyai tempat, jika dibawakan dengan pendekatan kreatif dan mesra anak muda.

Showcase Seri Malaya bukan sekadar hiburan tetapi ia adalah perjuangan seni. Malah ia juga merupakan jemputan untuk generasi baru mengenal kembali akar budaya, dan menyemai semula rasa bangga terhadap muzik serta identiti bangsa yang makin dilupakan. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

إرسال تعليق

0 تعليقات