MUSIM ketiga dan terakhir Squid Game semakin hampir, dan teaser terbaharu kini dilancarkan, memberikan pandangan pertama kepada peminat tentang kemuncak dramatik siri paling popular Netflix ini.
Siri ini kekal sebagai rancangan paling popular di Netflix setakat ini dan terus memikat penonton global, memecahkan pelbagai rekod menerusi kemunculan semula musim kedua pada Disember 2024.
Ia mencatatkan rekod tontonan terbanyak bagi minggu tayangan perdana dan memasuki senarai Rancangan TV Bukan Bahasa Inggeris Paling Popular hanya dalam masa tiga hari dan kini berada di tangga kedua dengan 192.6 juta tontonan, selepas musim pertama yang mencatatkan 265.2 juta tontonan.
Dengan jumlah tontonan yang tinggi, musim kedua siri ini kini berada di kedudukan ketiga sebagai musim paling banyak ditonton dalam sejarah Netflix dan ia mengukuhkan lagi pengaruh global francais ini.
Musim ketiga ini akan menyambung kisah Seong Gi-hun (lakonan Lee Jung-jae) yang bertekad untuk menghentikan permainan maut tersebut. Musim ini akan menjawab persoalan yang ditinggalkan oleh musim sebelumnya dan membawa penonton ke dalam konflik akhir antara Gi-hun dan Front Man (lakonan Lee Byung-hun).
Teaser yang baru dilancarkan dibuka dengan pengawal berbaju merah jambu membawa sebuah kotak hitam iaitu keranda yang digunakan untuk pemain yang gugur ke kawasan rehat permainan.
Dengan rasa ingin tahu bercampur ketakutan, para pemain menghampiri dan membuka kotak tersebut, mendedahkan Gi-hun di dalamnya. Ketika dia terjaga, penonton dibawa ke permulaan satu permainan baharu.
Sebuah mesin gumball gergasi mengeluarkan bebola merah dan biru, mewakili takdir yang akan menentukan cabaran seterusnya.
Wajah-wajah yang dikenali kembali muncul di tengah permainan seperti Front Man, detektif Hwang Jun-ho, Myung-gi (Pemain 333), Dae-ho (Pemain 388), Hyun-ju (Pemain 120), Yong-sik (Pemain 007), Geum-ja (Pemain 149), Jun-hee (Pemain 222), Min-su (Pemain 125), Nam-gyu (Pemain 124), dan pengawal No-eul.
Apakah yang menanti Gi-hun dan para pemain lain dalam permainan kali ini? Bersedia untuk tayangan perdana Squid Game musim ketiga pada 27 Jun depan, eksklusif di Netflix. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات