ACARA fesyen paling elit dan menjadi tumpuan seluruh dunia, Met Gala berlangsung penuh kemeriahan di Muzium Seni Metropolitan, New York, Amaerika Syarikat pada Isnin lalu.
Barisan selebriti dan sosialit terkenal hadir memperagakan pelbagai fesyen rekaan karyawan ternama yang tampil kreatif dengan impak luar biasa.
Antaranya termasuk Jennie Kim, 29, yang sememangnya sinonim dengan julukan ikon fesyen. Dengan tema Superfine: Tailoring Black Style, anggota kumpulan Blackpink itu tampil dalam busana yang bukan sahaja elegan tetapi juga penuh makna, menonjolkan pengaruh besar fesyen dalam budaya pop global.
Paduan klasik dan moden
Jennie memilih gaun tuxedo hitam dari koleksi haute couture Chanel yang memukau. Dikenali sebagai 'Human Chanel', pilihan ini jelas mencerminkan hubungan kuat antara Jennie dan rumah fesyen ikonik tersebut.
Gaun tuxedo hitam ini terlihat sangat elegan dengan potongan off-shoulder yang memberikan sentuhan moden kepada reka bentuk klasik.
Overskirt dengan belahan tengah yang penuh gaya dipadankan seluar dengan potongan lurus memberikan kesan dramatis saat Jennie melangkah penuh anggun di karpet merah.
Melengkapkan gayanya, Jennie mengenakan dua untaian rantai mutiara bersama bunga kamelia putih, lambang ikonik rumah fesyen tersebut.
Gaya rambut dan solekan
Penyanyi lagu Love Hangover itu tampil dengan gaya rambut 'bow bun' yang unik dan elegan, direka oleh penata rambut selebriti Olivier Schawalder. Gaya ini menampilkan sanggul rendah yang dibentuk menyerupai reben, terletak kemas di bawah topi dua tona yang dipakainya.
Pilihan 'bow bun' ini bukan sahaja menonjolkan keanggunan Jennie tetapi juga mencerminkan konsistensi gaya peribadinya. Jennie diketahui sering menggabungkan elemen reben dalam penampilannya, sama ada dalam persembahan pentas, acara karpet merah, atau gaya harian.
Dari segi solekan, Jennie tampil minimalis, dengan kening yang tegas dan bibir nude yang memberikan sentuhan moden kepada gaya yang klasik ini.
Penampilan yang Mempesonakan
Secara keseluruhannya, penampilan Jennie bukan sahaja memukau dari segi estetika tetapi juga sarat dengan simbolisme. Dengan menggabungkan elemen tuxedo dan perincian feminin seperti bunga kamelia dan mutiara, dia memberi penghormatan kepada Coco Chanel sebagai pelopor gaya dandy wanita, sejajar dengan tema Met Gala tahun ini yang menekankan ekspresi diri melalui 'tailoring'.
Penampilan bintang yang kini sibuk dengan aktivitinya sebagai atis solo itu mendapat sorotan dan pujian ramai, malah tersenarai sebagai antara 10 busana terbaik pilihan pelbagai majalah fesyen terkemuka sekali gus menegaskan statusnya sebagai ikon fesyen global.
Tampil di Met Gala 2025 buat kali ketiga berturut-turut, Jennie bukan sahaja menonjolkan keanggunan dan gaya peribadinya, tetapi juga mencerminkan pengaruh besar budaya K-pop dalam dunia fesyen antarabangsa.
Jennie terus menetapkan standard tinggi dalam industri fesyen, menunjukkan bahawa dia bukan sahaja seorang penyanyi terkenal tetapi juga seorang trendsetter yang menginspirasi banyak orang di seluruh dunia.
Selain Jennie, dua lagi anggota Blackpink yang turut hadir di Met Gala 2025 ialah Rosé dan Lisa, masing-masing mewakili YSL dan Louis Vuitton. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 تعليقات