Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Atilia, Salamiah Hassan raikan cinta dan muzik di Konsert Gelombang Bahagiaku

Salamiah Hassan dan Atilia teruja temui peminat di Konsert Gelombang Bahagiaku

PADA malam yang dijanjikan penuh magis dan kenangan manis, penyanyi Atilia Haron bakal berkongsi pentas utama dengan ibunya yang juga legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan menerusi sebuah persembahan istimewa yang diberi nama, Gelombang Bahagiaku.

Konsert anjuran Mujik Wand Production itu bakal berlangsung pada 16 Ogos 2025, jam 8.30 malam di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Lebih daripada sekadar konsert, Gelombang Bahagiaku ialah sebuah simfoni kasih antara dua wanita luar biasa, anak dan ibu yang disatukan oleh cinta dan dilestarikan oleh muzik.

Bagi pemilik nama penuh Raja Atilia Raja Haron, konsert itu bukan sekadar projek seni, tetapi merupakan penghormatan jiwa buat insan paling dikasihi iaitu ibunya sendiri.

Melihat perjalanan seni Salamiah Hassan sejak kecil, Atilia berasa diberi peluang yang amat bermakna untuk menyatakan rasa cinta dan penghargaan secara langsung melalui pentas dan lagu, bersama wanita yang paling berjasa dalam hidupnya.

“This is a dream come true for me. Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersamanya membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia,” kongsi Atilia dengan penuh rasa syukur.

Gandingan istimewa

Sementara itu, Salamiah pula menyifatkan Konsert Gelombang Bahagiaku bukan sahaja menyatukan dua vokal berlatar muzik berbeza, tetapi turut dua generasi dan dua jiwa dalam satu nadi iaitu muzik.

“Saya sangat teruja. Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya ia akan menjadi gabungan yang cukup istimewa buat para penonton.


"Ini adalah kali pertama saya dan Atilia berkongsi pentas berskala besar, dan saya sangat bersyukur atas kesempatan ini,” katanya.


Konsert ini juga menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-55 Salamiah Hassan dalam dunia seni, menerusi projek khas 'Salamiah Hassan: #Legacy – Celebrating 55 Years in Music'.

Antara detik paling dinantikan ketika konsert nanti adalah persembahan duet pertama Atilia dan Salamiah menerusi lagu baharu berjudul Age Is Just A Number.

Karya tersebut menyampaikan mesej positif tentang kehidupan, kematangan dan keberanian menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.

“Lagu ini merupakan refleksi kami berdua, dua wanita berdikari yang melakukan perkara yang kami cintai dengan penuh kasih sayang dan semangat positif,” jelas Atilia.

Tambah penyanyi lagu Terindah Pilihanku itu lagi, antara momen yang paling dinantikan pada konsert itu adalah saat mereka berdua menyanyi sambil bertentang mata.

“Saya sangat menantikan detik magis apabila kami menyanyi bersama dan saling berpandangan di atas pentas. Saya yakin para penonton juga akan turut merasai keajaiban itu,” katanya.


Dalam ada itu, Salamiah pula mengharapkan agar penonton dapat merasai sendiri jalinan kasih ibu-anak yang terpancar, bukan sahaja dari nyanyian, tetapi juga dari getaran jiwa dua insan yang saling menyayangi.

“Saya bertuah kerana dapat berkongsi cinta terhadap muzik dengan anak sendiri. Kami mungkin berbeza, tetapi cinta terhadap seni menyatukan kami lebih dalam,” ujarnya penuh emosi.

Cabaran

Sebagaimana projek seni lain, penganjuran konsert ini juga tidak terlepas daripada pelbagai cabaran yang harus didepani.

Namun atas semangat dan kepercayaan bersama, mereka nekad meneruskan impian tersebut walaupun bermula dengan usaha sendiri dan bantuan sahabat-sahabat terdekat yang percaya pada misi mereka.

“Sudah tentu ada cabarannya, tetapi sedikit demi sedikit, kami berjaya usahakan hingga ke akhirnya. This concert had to be done. Kami buat apa yang perlu sahaja dengan sokongan rakan-rakan. Syukur alhamdulillah, ada yang percaya dan sudi membantu.

“Saya harap penonton bersedia menyaksikan sesuatu yang berbeza tetapi dekat di hati. Nantikan persembahan muzik yang bagus, dan semoga nyanyian kami menyentuh jiwa semua. Terima kasih,” janji Atilia kepada para peminat,” ujar Atilia jujur.


Konsert Gelombang Bahagiaku dijangka menjadi sebuah malam penuh emosi, kenangan indah dan persembahan yang menyentuh hati. Satu penghormatan kepada nilai keluarga, cinta tanpa syarat dan muzik yang melangkaui zaman.

Tiket konsert kini dijual dengan harga RM350, RM250 dan RM150. Pembelian boleh dilakukan di laman web ticket2u.com.my/event/43440- 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments