Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Billie Eilish kuasai AMA 2025, bawa pulang 7 trofi termasuk Artis & Album Terbaik


Oleh: AILEEN ADAM

PENYANYI dan komposer muda berbakat, Billie Eilish mengungguli Anugerah Muzik Amerika 2025 (AMA 2025) apabila membawa pulang tujuh trofi utama dalam acara berprestij yang berlangsung di Fontainebleau, Las Vegas, Amerika Syarikat pada Selasa.

Bintang sensasi berusia 23 tahun itu dinobatkan sebagai Artis Terbaik, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri muzik global.

Eilish turut merangkul Album Terbaik, Artis Pop Wanita Terbaik, Artis Jelajah Terbaik, dan Album Pop Kegemaran menerusi album terbarunya Hit Me Hard and Soft. Malah, lagu hit Birds of a Feather juga berjaya memenangi kategori Lagu Terbaik dan Lagu Pop Kegemaran.

Bagaimanapun, penyanyi itu tidak dapat hadir menerima anugerah tersbut kerana terikat dengan jadual konsert siri jelajah Eropah.

Dalam ucapan ringkas yang ditayangkan secara video selepas kemenangannya, Eilish meluahkan rasa terharu dengan kemenangan itu.

“Ini sangat gila. Saya hilang kata-kata. Saya harap boleh berada di sana,” katanya.

Kemenangan besar itu dianggap sebagai satu kejayaan manis buatnya selepas kekecewaan di Anugerah Grammy 2025 yang menyaksikan dia pulang tanpa sebarang kemenangan meskipun menerima tujuh pencalonan.

Sementara itu, penyanyi tersohor Lady Gaga dan Bruno Mars turut mencipta detik gemilang apabila diumumkan sebagai pemenang Video Muzik Kegemaran dan Kolaborasi Terbaik menerusi lagu duet mereka, Die With A Smile.

Gaga juga sekali lagi membawa pulang anugerah Artis Dance/Elektronik Kegemaran, manakala Mars menerima pengiktirafan sebagai Artis Pop Lelaki Kegemaran buat kali ketiga dalam kerjayanya.

Nama besar lain turut tidak pulang dengan tangan kosong. Beyoncé, misalnya, menyinar dalam kategori country apabila memenangi Artis Country Wanita Kegemaran dan Album Country Kegemaran menerusi karya eksperimentalnya, Cowboy Carter.

Pemenang lain yang masing-masing menggondol dua anugerah termasuk Post Malone, SZA, The Weeknd, Bad Bunny, Eminem dan Twenty One Pilots.

Dalam kategori pendatang baharu, penyanyi Gracie Abrams diumumkan sebagai Artis Baharu Terbaik, manakala Doechii pula mencatat kemenangan dalam kategori Lagu Sosial Terbaik menerusi lagu Anxiety.

Satu lagi momen istimewa pada malam tersebut adalah kemunculan semula legenda pop Janet Jackson yang menerima Anugerah Ikon dan mempersembahkan dua lagu popularnya, Someone to Call My Lover dan All For You. Ia menandakan persembahan langsung pertamanya selepas tujuh tahun.

Turut diraikan ialah penyanyi veteran Rod Stewart yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, disampaikan sendiri oleh kelima-lima anaknya dalam sebuah momen penuh emosi.

Namun begitu, kejutan turut tercipta apabila nama besar seperti Taylor Swift, yang menerima enam pencalonan, tidak membawa pulang sebarang trofi pada malam tersebut. satu keputusan yang pastinya mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan pemerhati industri.

Dengan barisan pemenang yang mencerminkan pelbagai warna muzik masa kini, AMA 2025 sekali lagi membuktikan kekuatannya sebagai salah satu anugerah muzik paling relevan dan dinantikan setiap tahun.

Majlis anugerah kali ini turut dihoskan oleh bintang serba boleh, Jennifer Lopez. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments