PEMINAT setia kumpulan K-pop sensasi, Blackpink, meluahkan rasa kecewa selepas mendapati Malaysia tidak tersenarai sebagai salah satu lokasi konsert jelajah dunia terbaharu mereka, Deadline World Tour.
Siri Jelajah berskala mega itu dijadualkan bermula Julai ini, dengan Stadium Goyang di Korea Selatan menjadi lokasi pembuka tirai pada 15 Julai 2025.
Sebanyak 16 lokasi utama di seluruh dunia telah diumumkan. Antara destinasi yang bakal dikunjungi termasuk beberapa bandar utama di Amerika Syarikat seperti Los Angeles, Chicago, Toronto dan New York, diikuti dengan persinggahan ke benua Eropah yang melibatkan kota Paris, Milan, Barcelona dan London.
Sementara di Asia, Blackpink akan mengadakan persembahan di Kaohsiung, Bangkok, Jakarta, Bulacan, Singapura, Tokyo dan Hong Kong, dengan persembahan penutup dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Januari 2026.
Setiap lokasi konsert dijangka berlangsung persembahan selama dua hingga tiga hari, mencerminkan skala produksi yang besar dan sambutan peminat yang luar biasa.
Namun begitu, ketiadaan Malaysia dalam senarai rasmi tersebut nyata mengecewakan peminat tanah air. Ini kerana Kuala Lumpur sebelum ini pernah menjadi lokasi persinggahan bagi dua siri jelajah Blackpink iaitu In Your Area pada 2019 dan Born Pink (2023) yang mendapat sambutan luar biasa.
Setelah hampir tiga tahun penantian untuk melihat Jennie, Jisoo, Rosé dan Lisa kembali ke pentas, pengumuman kali ini pastinya meninggalkan rasa hampa yang mendalam dalam kalangan peminat setia di Malaysia.
Di media sosial, ramai meluahkan rasa tidak puas hati serta berharap agar pihak pengurusan kumpulan itu, YG Entertainment, akan mempertimbangkan untuk menambah Malaysia dalam senarai lokasi jelajah.
Namun jika senarai ini kekal tanpa perubahan, peminat Malaysia yang ingin menyaksikan konsert ini terpaksa ke negara jiran seperti Thailand, Indonesia atau Singapura.
Terdahulu, YG Entertainment telah memuat naik poster rasmi konsert jelajah menerusi akaun Instagram rasmi Blackpink, sekali gus mengesahkan senarai penuh lokasi konsert yang bakal dilangsungkan tahun ini hingga awal 2026. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
0 Comments