The Hardest Singing Show: Kaka Azraff peserta pertama tersingkir


PENYANYI Kaka Azraff terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas The Hardest Singing Show (THSS) apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu keempat yang bersiaran langsung dari CIDB Convention Centre Kuala Lumpur pada Ahad.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Azraff, yang membawakan lagu Bawaku Pergi nyanyian asal dirinya sendiri bersama Zizan Razak mendapat markah paling rendah sebanyak 65.14 peratus (%).

Biarpun sudah memberikan yang terbaik, persembahan penyanyi berusia 35 tahun itu, kurang memikat hati barisan juri yang terdiri daripada Edry Abdul Halim, Datuk Seri Rossa dan Zizan Razak.

"Saya rasa THSS kena ada elemen 'the hardest' itu dan mungkin saya masih tidak cukup. Bukan sahaja dari segi nyanyian, tetapi kena lihat persembahan juga.

“Saya pula bukan 'stunt girl', tetapi saya gembira melihat rakan-rakan saya buat persembahan,” katanya.

Tambah Kaka, selepas menamatkan saingan dalam program tersebut, dia akan kembali memberi fokus kepada perancangan menghasilkan single baharu tidak lama lagi.

Sementara itu, Ayda Jebat terus mengungguli carta dengan persembahan 'luar kotak' berkonsepkan elemen silap mata yang ditampilkan menerusi lagu Bring Me To Life.

Pentas THSS minggu hadapan terus menyaksikan persaingan sengit daripada barisan peserta yang terdiri daripada Ayda Jebat, Putera Muhammad, Aishah Retno, Zizi Kirana, Aepul Roza, Stacy dan De Fam.

THSS dihoskan oleh Nabil Ahmad dan selebriti popular Indonesia, Rina Nose dan bersiaran secara langsung pada setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan boleh distrim secara eksklusif menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO. - 7KLIK


MARKAH & KEDUDUKAN PESERTA MINGGU 4

1. Ayda Jebat - Bring Me To Life (94.63%)
2. Putera Muhammad - Jadi Aku Sebentar Saja (89.99%)
3. Aishah Retno - Umpan Jinak Di Air Tenang (89.03%)
4. Zizi Kirana - Buah Hati (85.80%)
5. Aepul Roza - Aladin (82.56%)
6. Stacy - Zona Nyaman (80.96%)
7. De Fam - Pop Ye Ye (71.67%)
8. Kaka Azraff - Bawaku Pergi (65.14%) - TERSINGKIR 


ARTIKEL LAIN:
 

Post a Comment

Previous Post Next Post