| Syed Saddiq dan Bella Astillah bersama ibu bapa masing-masing | FOTO: Astro (Azrul Rafi) |
MAJLIS perkahwinan selalunya menjadi momen untuk diraikan bersama keluarga dan kenalan terdekat, namun Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah memilih untuk membuka ruang lebih luas untuk berkongsi hari bahagia mereka.
Bukan satu, malah dua majlis resepsi bertemakan ‘Kenduri Rakyat’ bakal diadakan di kampung halaman masing-masing iaitu di Muar, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.
Pasangan ini merancang untuk mengadakan Kenduri Rakyat di Muar pada 25 Oktober, sebelum meneruskan sambutan di Kota Kinabalu pada 31 Oktober.
Menurut Syed Saddiq, 34, konsep tersebut dipilih sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang selama ini menitipkan doa, sokongan dan dorongan buat mereka berdua.
Baginya, perkahwinan bukan sekadar tentang penyatuan dua individu, sebaliknya turut menjadi kesempatan untuk berkongsi kebahagiaan dengan mereka yang sentiasa memberikan sokongan.
“Dari awal kalau ikut dari sudut tanggungjawab hakiki adalah nikah untuk menghalalkan hubungan kami berdua.
“Namun pada masa yang sama, saya selalu kongsikan kepada bakal isteri saya (Bella), kebahagiaan itu perlu dikongsikan kepada semua juga.
“Ini kerana tanpa doa, sokongan, dorongan mungkin hari ini tidak akan terjadi. Dan ‘the chapter of our future journey’ itu mungkin tidaklah semudah seperti hari ini,” ujarnya.
Rewang Jadi Nadi Kenduri Rakyat
Tidak mahu majlis sekadar berlangsung sebagai acara resepsi biasa, kedua-dua Kenduri Rakyat itu akan membawa konsep rewang dengan penduduk setempat turut dijemput untuk bersama-sama menyediakan juadah.
“Bila namanya Kenduri Rakyat, tentunya kita akan buat rewang juga. Maksudnya orang kampung semua akan dijemput untuk sertai masak sekali.
“Orang kampung semua dijemput hadir supaya kita dapat membumikan majlis perkahwinan ini untuk dinikmati oleh semua di luar sana,” katanya.
Antara cabaran utama yang dihadapi adalah mendapatkan lokasi bersesuaian, selain memastikan keperluan kenduri dapat disediakan untuk jumlah tetamu yang dijangka ramai.
Beberapa penaja turut tampil membantu menyediakan keperluan, termasuk beras, santan dan roti. Dengan jumlah kehadiran yang dijangka besar, pasangan itu juga memilih pendekatan yang lebih terbuka untuk tetamu yang hadir.
“Kalau sebelum ini sambutan Hari Raya di Muar saja sudah mencecah 10,000 orang, jadi kita menjangkakan untuk kenduri kami nanti lebih ramai yang akan datang.
“Jadi majlis itu nanti berkonsepkan siapa cepat dia dapat. Sekiranya makanan habis sekalipun, kami berdua akan tetap berada di sana untuk bersalam dan bersama dengan tetamu yang hadir,” katanya.
Perkara itu dikongsikan Syed Saddiq ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq di Kuala Lumpur pada petang Jumaat.
Dalam kesempatan sama, pasangan tersebut turut memaklumkan sebanyak 10,000 cenderahati istimewa disediakan untuk tetamu yang hadir ke kedua-dua majlis berkenaan.
Bagi sambutan di Sabah pula, Bella atau nama lengkapnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, menjelaskan bahawa Kenduri Rakyat di Kota Kinabalu akan mengangkat tema pakaian tradisional Sabah sebagai penghormatan kepada kepelbagaian budaya negeri tersebut.
Menariknya, kisah menuju hari bahagia mereka turut bakal dikongsi menerusi kerjasama bersama Astro. Program khas berkenaan akan membawa penonton mengikuti beberapa episod yang merakam persiapan menjelang akad nikah, kehidupan selepas bergelar suami isteri serta kemeriahan majlis resepsi di Muar dan Sabah.
Pasangan popular ini bakal melangsungkan majlis pernikahan di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur pada 10 Oktober ini. Kedua-duanya sebelum ini mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz pada September 2016 sebelum bercerai pada 16 Mei 2019. Pasangan tersebut kemudian kembali rujuk, namun berpisah buat kali kedua pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6. - 7KLIK
ARTIKEL LAIN:
- Dolla Bangkit Lawan Persepsi Menerusi 'Ugly'
- Dunia Siti Nurhaliza Kini Lebih Dekat Dengan AFFIN LuminouSITI Visa Debit Card
- 'Yang Tinggal' Satukan Malique, Zizi Kirana & Yasin Sulaiman
0 Comments