[REVIEW] Verity: Siapa Manipulasi Siapa?

Dakota Johnson dan Anne Hathaway menghidupkan dua watak utama yang menjadi nadi permainan psikologi dalam Verity

FILEM thriller psikologi selalunya hidup atas satu perkara iaitu sejauh mana penonton sanggup mempercayai apa yang sedang dilihat sebelum semuanya mula dipersoalkan.

Verity bermain tepat dengan elemen itu, membawa kisah tentang rahsia, manipulasi dan obsesi menerusi sebuah keluarga yang menyimpan terlalu banyak perkara di sebalik pintu rumah mewah mereka.

Diadaptasi daripada novel popular karya Colleen Hoover, filem arahan Michael Showalter ini mengisahkan Lowen Ashleigh lakonan Dakota Johnson, seorang penulis yang ditawarkan tugas untuk menyambung siri novel terkenal milik Verity Crawford (Anne Hathaway), selepas Verity mengalami kemalangan yang menyebabkan dirinya lumpuh dan tidak lagi mampu menulis.

Lowen kemudiannya berpindah ke rumah keluarga Crawford untuk meneliti bahan penulisan wanita itu. Di situlah dia menemui sebuah manuskrip peribadi yang membuka sisi gelap kehidupan Verity, termasuk kisah rumah tangganya bersama suaminya, Jeremy (Josh Hartnett).

Semakin jauh Lowen menyelami manuskrip itu, semakin kabur garis antara kebenaran dan penipuan. Hubungan antara Lowen dan Jeremy pula menambahkan lagi persoalan tentang siapa yang sebenarnya boleh dipercayai.

Babak awal Verity memang mengambil sedikit masa untuk membina rentaknya. Pergerakan ceritanya agak perlahan, tetapi pendekatan itu sebenarnya memberi ruang kepada penonton untuk perlahan-lahan masuk ke dalam dunia manuskrip Verity.

Dari situ, rasa ingin tahu mula mengambil alih, benarkah apa yang ditulis atau ada sesuatu yang sengaja dimanipulasi untuk mengubah persepsi?

Di sinilah permainan psikologi filem ini mula terasa kuat. Penonton bukan sekadar menunggu jawapan, tetapi dipaksa berfikir sendiri tentang apa yang nyata dan apa yang mungkin sekadar manipulasi fikiran.

Setiap pendedahan pula membuat kita semakin sukar menentukan siapa yang patut dipercayai dan, lebih penting, siapa yang patut kita berpihak.

Lebih menarik, beberapa petunjuk kecil yang pada awalnya kelihatan tidak begitu penting mula menunjukkan kaitannya apabila cerita menghampiri penghujung. Satu demi satu petunjuk tersebut bercantum dan perlahan-lahan membuka jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran.

Hasilnya, misteri Verity tidak datang dalam satu lapisan sahaja. Plot twist yang muncul secara berperingkat membuatkan beberapa babak terasa cukup mencengangkan, malah ada ketika penonton boleh tergamam apabila perkara yang disangka sudah difahami tiba-tiba membuka persoalan baharu.

Lakonan Jadi Kekuatan Utama

Anne Hathaway merupakan antara kekuatan utama filem ini. Watak Verity memerlukan persembahan yang mampu membuatkan penonton sentiasa tertanya-tanya tentang apa yang sebenarnya bermain dalam fikirannya. Hathaway berjaya menggunakan ekspresi, bahasa tubuh serta kehadiran fizikalnya untuk mengekalkan rasa tidak selesa tersebut.

Sementara Dakota Johnson pula membawa Lowen dengan pendekatan yang lebih tenang. Karakternya berfungsi sebagai mata penonton, sama-sama mencari jawapan, membaca manuskrip dan cuba menyusun kepingan misteri yang semakin bercelaru.

Josh Hartnett turut memberikan Jeremy aura yang sukar ditafsir. Pada satu ketika dia kelihatan boleh dipercayai, tetapi pada ketika lain tindakannya cukup untuk membuatkan kita kembali ragu-ragu. Chemistry antara Johnson dan Hartnett pula membantu menghidupkan sisi sensual cerita, walaupun perkembangan hubungan mereka kadangkala terasa lebih bergantung kepada keperluan plot.



Dari segi pengarahan, Michael Showalter memilih pendekatan thriller psikologi yang lebih bergaya dan sensual, berbanding membawakan suasana yang gelap sepenuhnya.

Rumah keluarga Crawford menjadi ruang penting dalam membina suasana, dengan sinematografi yang memanfaatkan reka bentuk dalaman, pencahayaan dan komposisi visual untuk menjadikan rumah tersebut cantik tetapi pada masa sama terasa dingin dan mengancam.

Namun begitu, kelemahan skrip naskhah ini tetap terasa. Ada bahagian yang terlalu bergantung kepada kebetulan, manakala beberapa perkembangan cerita pula memerlukan penonton menerima logiknya tanpa terlalu banyak soal. Keputusan plot yang dibuat juga tidak semuanya cukup kemas untuk menyokong keseluruhan ceritanya.

Pacing yang perlahan pada awal cerita juga mungkin tidak sesuai untuk penonton yang mengharapkan thriller bergerak pantas sejak minit pertama.

Bagaimanapun, bagi filem yang mahu bermain dengan persepsi, Verity berjaya melakukan satu perkara penting iaitu membuatkan penonton sentiasa menukar fikiran. Ketika mula menyebelahi seseorang, kita diberi sebab untuk meragukannya. Ketika rasa sudah memahami sesuatu, muncul pula petunjuk yang membuatkan kita menyusun semula semuanya.

Verity mungkin bukan thriller psikologi yang sempurna, tetapi ia cukup berkesan untuk membuat penonton duduk diam, berfikir dan cuba mencantumkan setiap kepingan cerita sehingga ke penghujung.

Saat kredit mula berjalan, persoalan paling besar mungkin bukan lagi “siapa yang betul?” tetapi sejauh mana kita sebenarnya sudah dimanipulasi bersama cerita ini? - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:


VERITY
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: 18
Genre: Thriller
Durasi: 1 Jam 50 Minit
Pengarah: Michael Showalter
Pelakon: Dakota Johnson, Anne Hathaway, Josh Hartnett, Ismael Cruz Córdova
Edaran: Sony Pictures Entertainment
Tarikh Tayangan: 1 Oktober 2026
Bintang: 7.5/10
[KREDIT FOTO: Sony Pictures Entertainment]

Post a Comment

0 Comments