Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Ramayan kongsi perjalanan spiritual dalam Samudera


KUMPULAN muzik psychedelic tempatan, Ramayan, sekali lagi mewarnai skena muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul Samudera.

Karya tersebut muncul sebagai titik pertemuan kedua selepas single pertama mereka, Dendang!, yang telah menerima sambutan menggalakkan daripada para peminat muzik tempatan sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu.

Menerusi rentetan kisah cinta dan karya seni, lagu ini diilhamkan oleh Pi'e, sebagai satu surat penghargaan kepada isterinya, Marine, yang juga merujuk kepada lautan.

Menurut Pi'e, ia sesuatu yang disampaikan dengan penggunaan perkataan bahasa Sanskrit, pada dasarnya adalah salah satu asal-usul bahasa Melayu.

“Dengan lagu ini kami ingin membawa pendengar ke dalam sebuah kisah tentang penghargaan yang mendalam terhadap kebesaran hati seorang wanita, lebih-lebih lagi seorang isteri ataupun ibu, yang sebesar lautan itu sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, Izzat berkata, pada awalnya lagu itu dianggap sebagai trek bonus dalam album kerana keunikan bunyinya berbeza daripada yang lain, tetapi ia akhirnya dijadikan lagu utama.

“Disebabkan kedalaman emosi yang terkandung dalam melodi dan lirik lagu ini, kami percaya bahawa ia wajib menjadi salah satu lagu utama dalam album ini,” jelasnya.

Bagi Que dan Omar pula, Samudera mempunyai sifat yang menenangkan dengan iramanya yang sayu dan sepoi-sepoi.

"Dari segi susunan muzik, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menghasilkan bunyian yang menekankan unsur-unsur tersebut dalam lagu ini.

“Disebabkan rentak dan iramanya yang ala 70-an, lagu ini seolah-olah sesuatu yang biasa kita dengari, yang mungkin memberi perasaan nostalgia kepada pendengar.

"Namun tidak ada satu lagu pun di Malaysia yang sepertinya. Di situ juga salah satu keunikan lagu ini, pada pendapat kami.” katanya.

Ramayan tidak hanya ingin menghibur, tetapi juga ingin membawa pendengar melalui sebuah perjalanan spiritual yang mendalam melalui Samudera.


Dengan kehadiran lagu ini di semua platform streaming digital, dipersembahkan bersama visualizer yang menawan di YouTube, Ramayan mengundang pendengar untuk merenung, menyerah, bersyukur dan rendah diri apabila menghadapi kebesaran alam.

Walaupun pada luarannya lagu ini merupai sebuah lagu cinta terhadap kekasih hati, tetapi di dalamnya juga terdapat sebuah lagu cinta kepada Sang Pencipta.

Bagi Ramayan, Samudera merupakan satu ‘pemanasan’, sebelum pelancaran album penuh mereka, Ini Adalah Ujian Transmisi yang akan menemui peminat tidak lama lagi. - 7KLIK


ARTIKEL LAIN: 

Post a Comment

0 Comments