M. Nasir, Faizal Tahir bergabung untuk Campak Bintang


SEBUAH sejarah dilakarkan untuk industri muzik apabila dua ikon muzik Malaysia, Datuk M.Nasir dan Faizal Tahir tampil berkolaborasi menerusi single terbaharu mereka berjudul Campak Bintang.

Karya istimewa terbitan Faithful Music dan Luncai Emas itu tampil dengan menyatukan pop dengan warisan budaya melayu yang membuktikan sinergi antara rentak muzik moden dan irama tradisional.

Menerusi gabungan kreatif tersebut, mereka telah menyatukan irama dan sentuhan ikonik dalam sebuah lagu yang mencengkam hati dan merentasi generasi.

Campak Bintang adalah lagu yang mengisahkan pengorbanan melepaskan sesuatu yang kita cintai untuk mendapatkan sesuatu yang jauh lebih berharga.

Mengulas tentang kolaborasi itu, Faizal dan Faithful Music mengakui pemilihan M. Nasir adalah sesuatu yang terlalu besar buat mereka.

"Pemilihan Datuk M.Nasir kali ini adalah sesuatu yang besar dan keputusan ini tidak dilakukan sebarangan.

“Kami merasakan kehadirannya sangat diperlukan dengan kehendak lagu dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.

"Datuk M.Nasir dan team Luncai Emas memberikan kerjasama yang sangat baik,” ujarnya.


Sementara itu, M.Nasir pula menyifatkan Faizal adalah salah seorang pengkarya yang sering tampil dengan karya-karya berkualiti.

“Dunia muzik telah digegarkan oleh bakat seperti Faizal Tahir dan hampir juga ia diselamatkan generasi ini.

"Lega kerana ada sang pengkarya yang tidak habis-habis melahirkan karya-karya baharu yang berkualiti sejak kemunculannya. Lagu ini, sumbangan kami berdua, adalah satu manifestasi,” katanya.

Campak Bintang merupakan hasil ciptaan Faizal Tahir sendiri bersama Romeo, Glowrush dan Karim Karam.

“Kolaborasi ini telah dilahirkan dengan kerjasama kedua-dua pihak. Syukur ke hadrat Illahi dengan izin-Nya, maka sempurnalah satu lagi karya muzik daripada dua penyanyi ikon muzik seperti M.Nasir dan Faizal Tahir,” tambah Luncai Emas.

Tidak hanya itu, single itujuga menampilkan muzik video (MV) yang menyaksikan penggambarannya dilakukan di Cine Studio pada 19 April.

Karya istimewa itu telah dilancarkan di semua saluran digital, manakala MV pula boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir. - 7KLIK



[FOTO: Faithful Music & Luncai Emas - Terima Kasih Opie]

Post a Comment

Previous Post Next Post