Michelle Yeoh Teroka Dunia Blade Runner 2099


DUNIA masa depan sering dibayangkan sebagai tempat manusia hidup berdampingan dengan teknologi yang semakin canggih. Namun, kemajuan itu turut membawa persoalan baharu apabila teknologi mampu menghasilkan makhluk buatan yang menyerupai manusia.

Persoalan tentang identiti dan kemanusiaan inilah yang kembali diteroka menerusi Blade Runner 2099, sebuah siri fiksyen sains yang membawa penonton menyelami Los Angeles, 50 tahun selepas peristiwa dalam filem Blade Runner 2049.

Kali ini, kota berkenaan muncul dalam keadaan berbeza, dengan masa depan yang tidak lagi dibentuk oleh manusia semata-mata.

Gambaran lebih dekat tentang dunia tersebut dapat disaksikan menerusi trailer baharu yang diperkenalkan Prime Video pada sesi panel Blade Runner 2099 di New York Comic Con (NYCC), baru-baru ini. Poster rasmi berbentuk teaser key art turut diperkenalkan pada acara berkenaan.

Sesi panel itu menampilkan Datuk Michelle Yeoh, Hunter Schafer, Dimitri Abold, Lewis Gribben dan Matthew Needham, selain pencipta, peneraju siri serta penerbit eksekutif Silka Luisa. Mereka turut disertai penerbit eksekutif Andrew Kosove dan Broderick Johnson dalam perbincangan yang menyelami lebih lanjut latar futuristik siri tersebut.

Kesemua lapan episod Blade Runner 2099 dijadualkan ditayangkan secara eksklusif di Prime Video pada 25 November 2026, untuk penonton di lebih 240 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Misi Terakhir Di Los Angeles

Di sebalik latar futuristiknya, siri ini turut membawa kisah tentang misi berbahaya yang boleh mengubah masa depan Los Angeles.

Berlatarbelakangkan kota itu, 50 tahun selepas peristiwa dalam Blade Runner 2049, siri ini mengikuti Cora, seorang pelarian yang mengambil keputusan untuk menjadi Blade Runner demi melarikan diri daripada kehidupan lamanya.

Misi tersebut menemukan Cora dengan Olwen, seorang Replicant yang hanya mempunyai beberapa hari lagi untuk hidup. Bersama-sama, mereka perlu menjejaki seorang pelarian yang menyimpan rahsia berpotensi menggugat kestabilan seluruh kota.

Selain Michelle Yeoh dan Hunter Schafer, Dimitri Abold serta Lewis Gribben turut membintangi siri ini sebagai pelakon tetap. Turut membintangi siri ini ialah Katelyn Rose Downey, Daniel Rigby, Johnny Harris, Amy Lennox, Sheila Atim, Matthew Needham, Tom Burke dan Maurizio Lombardi.

Di sebalik pembikinannya, Silka Luisa menggalas tanggungjawab sebagai pencipta, peneraju siri dan penerbit eksekutif. Jonathan van Tulleken, yang turut terlibat dalam siri Shōgun, bertindak sebagai penerbit eksekutif dan mengarahkan dua episod pertama Blade Runner 2099.

Misi berbahaya, rahsia besar dan persoalan tentang sempadan antara manusia dengan ciptaan mereka sendiri menjadi antara tarikan utama Blade Runner 2099, sekali gus membuatkan kemunculan siri ini pada 25 November 2026 dinantikan peminat fiksyen sains.  - 7KLIK

ARTIKEL LAIN:

Post a Comment

0 Comments