Selangor catat lebih 6 juta pelancong pada 2023


NEGERI Selangor menegaskan komitmennya untuk meningkatkan sektor pelancongan di negeri itu dan menjangkakan kehadiran 7 Juta pelancong semasa Tahun Melawat Selangor 2025.

Berdasarkan rekod baru-baru ini, Selangor telah berjaya menarik 6.54 juta pelancong pada tahun 2023. Pencapaian ini telah menjadi asas yang kukuh bagi pertumbuhan yang berterusan bagi tahun mendatang.

Daripada jumlah kemasukan pelancong yang direkodkan, 4,449,951 juta adalah pelancong domestik, manakala 2,086,263 juta adalah daripada pelancong antarabangsa.

Data tersebut telah dikumpulkan oleh Tourism Selangor, sejajar dengan kriteria ditetapkan Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO), yang mentakrifkan pelancong sebagai individu yang perjalanannya termasuk menginap di sesuatu tempat.

Menggunakan cara pengumpulan data yang digunapakai oleh pihak Tourism Malaysia, pengumpulan data di Selangor memastikan ketepatan dan kebolehpercayaan dalam mengenalpasti pertumbuhan pelancongan.

Kemasukan pelancong yang luar biasa sebanyak 6.54 juta pelancong pada tahun 2023 mewakili peningkatan sebanyak 46.4% daripada tahun sebelumnya, melepasi sasaran kemasukan 5 juta pelancong ke Selangor.


Pertumbuhan luar biasa itu telah membuktikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama dan menekankan keberkesanan inisiatif strategik yang bertujuan untuk mempromosikan segmentasi pelancongan negeri seperti ekopelancongan, taman tema, pelancongan makanan, warisan dan budaya.

Negara China, Singapura, Indonesia, Jepun dan India kekal sebagai lima pasaran pelancong antarabangsa teratas untuk Selangor, menyumbang 46% daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong antarabangsa.

Sementara Kuala Lumpur, Johor, Perak, Pahang dan Pulau Pinang kekal sebagai pasaran pelancong domestik teratas, merangkumi 36% daripada jumlah keseluruhan kemasukan pelancong domestik.

Selain itu, antara 12 Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya telah menerima kemasukan pelancong tertinggi dengan merekodkan 2.15 juta pelancong. Majlis Perbandaran Hulu Selangor pula merekodkan peningkatan kemasukan pelancong yang tertinggi sebanyak 358%, daripada kemasukan 16,920 pelancong pada tahun 2022 kepada 77,521 pelancong pada tahun 2023.

Ini membuktikan tawaran dan tarikan pelancongan di Selangor yang pelbagai dan semakin berkembang. Pemain-pemain industri pelancongan dan para pelancong boleh menjangkakan lebih banyak pembangunan pelancongan yang baharu dengan pengalaman melancong yang tiada tandingan di Selangor pada tahun mendatang. - 7KLIK 



[FOTO: Tourism Selangor - Terima Kasih Nor Farazuha Aripin]

Post a Comment

Previous Post Next Post